14 January 2010

Sehari 1 Hadis: Kepentingan Hati Yang Baik

Ingatlah! Sesungguhnya setiap penguasa (kerajaan), memiliki daerah terlarang. Ingatlah! Sesungguhnya daerah yang terlarang milik Allah adalah apa saja yang diharamkan-Nya. Ingatlah! Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jikalau ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya, tidak lain dan tidak bukan itulah yang dikatakan hati. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

13 January 2010

Sehari 1 Hadis: Jauhi Sifat Riak

Salam, para pelajar yang dikasihi Allah.

Sikap suka menunjuk-nunjuk adalah antara sifat mazmumah yang perlu dielakkan. Sebagai mana maksud sebuah hadis:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Adakah kamu mahu aku memberitahu kamu tentang suatu perkara yang aku takuti ke atas kamu daripada dajal? Mereka menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah! Bagindapun berkata:” Syirik khafi iaitu seorang lelaki bangun bersembahyang lalu dia memperelokkan sembahyangnya kerana ada orang yang memerhatikannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Huraian:
1. Di antara tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu lebih suka menyembunyikan kebaikannya sebaliknya tidak suka jika kejahatannya disembunyikan. Dia melakukan kebaikan semata-mata kerana mahukan keredhaan daripada Allah S.W.T.

2. Sebaliknya riya’ pula adalah mencari sesuatu untuk keuntungan diri daripada amalan yang dilakukan di dunia sama ada untuk mendapatkan pujian, sanjungan, hadiah dan sebagainya bahkan hal ini termasuk dalam perbuatan syirik (syirik khafi).

3. Perbuatan riya’ (suka menunjuk-nunjuk), jika telah menjadi satu tabiat, lambat laun akan menyebabkan orang yang melakukannya dipandang hina oleh manusia lain. Oleh itu ubat riak ialah dengan menyembunyikan amalan yang ingin diserlahkan oleh nafsu kecuali amalan yang tidak dapat tidak, mesti dizahirkan seperti solat berjamaah, berpuasa dan yang seumpama dengannya.

4. Orang yang riak adalah termasuk orang yang munafik. Maka tiadalah pahala bagi perbuatan baik yang dilakukannya itu di sisi Allah S.W.T, sekalipun ia terpuji di mata manusia.

Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

12 January 2010

Sehari 1 Hadis: Soalan Di Hari Kiamat

Para pelajar yang dikasihi Allah,
sebagai umat Islam yang bermatlamatkan syurga sebagai tempat kediaman kita di alam yang kekal, kita perlu memastikan usia yang makin bertambah diisikan dengan perkara yang baik serta amalan ibadat kepada Allah. Ilmu yang ada perlu diamalkan. Harta yang ada perlu digunakan ke jalan yang diredhai. Tubuh badan yang sihat sekarang hendaklah digunakan untuk perkara yang disuruh oleh agama. Renungilah hadis ini:

Dari Abi Barzah al-Aslami, r.a, dari Nabi s.a.w, sabdanya : “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia dihabiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?’’ (Riwayat al-Tirmizi)
Huraian
1. Setiap orang akan disoal oleh Allah sebelum dimasuk ke syurga atau neraka
2. Ini menunjukkan kehidupan di dunia amat penting dan jangan disia-siakan usia yang ada
3. beramallah dengan mengerjakan segala yang disuruh dan menjauhi segala yang dilarang Allah.
Disusun oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

11 January 2010

Minda Penulis Blog: Menternak Hantu Lebih Baik Dari Menternak Cacing


Oleh:
Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

Satu lagi khabar yang menggempakkan pembaca surat khabar hari ini. Kali ini pelabur kepada skim pelaburan penternakan cacing sekitar Kulim dan negeri berhampiran iaitu Pulau Pinang.
Aku pernah melewati bandar Kulim sekitar jalan Kulim Hi-Tech, ada pernah kuterlihat kain rentang jemputan menternak cacing.
Hampir setahun gembar-gembur ternak cacing berjalan dan biasalah adalah cerita yang kudengar, ada yang dah jadi kaya hasil ternak cacing ini.
Pernah kudengar ada yang dah kerugian kerana menternak lintah (yang awal lagi). Katanya lintah ini boleh dijual kerana ada pasaran, akhirnya aku dengar ramai yang dah berkubur sebab lintah tidak mahu membesar. Katanya jadi makanan burung yang berada di atas, sedang memerhati dengan rakus lintah yang merayap di tepi kolam seperti mat motor menunggu bebudak perempuan habis waktu sekolah.
Zaman berubah dari lintah kepada cacing.
Ada iklan yang pernah kudapat yang tertera: "Menternak cacing boleh jadi kaya, sila ikuti kursus menternak cacing dengan bayaran RM200.00".
Sebenarnya inilah perangkap. Apa tidaknya, mereka yang pergi kursus ditayang keuntungan yang berlipat kali ganda. Setelah nampak peserta sudah masuk perangkap, disuruhnya peserta keluarkan modal rm sekian-sekian untuk memulakan projek. Segala peralatan dan makanan cacing dibekalkan. Maka wujudlah usahawan cacing yang bakal dijeratoleh pengusaha kursus dengan pinjaman peribadi yang belum tentu terbayar.
Aku teringat sebuah cerpen "Menternak Hantu" tulisan penulis tersohor. Mungkin ramai yang mengenali Masli N.O seorang pejuang puisi yang tak pernah penat tulis puisi. Cerpennya bertajuk: Menternak Hantu ini telah berjaya memenangi hadiah utama HKSU. Rupanya menternak cacing sama dengan menternak hantu. Dua-dua sudah ghaib bersama duit pelabur.

Sehari 1 Hadis: Amalkan sikap suka menolong

Para pelajar sekalian,

Amalkan sikap suka menolong dalam diri kita. Membudayakan sifat suka membantu ataupun memudahkan urusan orang lain amat digalakkan dalam agama. Malah, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

Dari Abu Hurairah r.a, baginda bersabda: ‘Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya’. (HR. Muslim)

Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

07 January 2010

Godam: Herald-The Catholic Weekly versus Natrah

SEKALI lagi beberapa kelompok bangsa Melayu dan umat Islam negara ini gempar serta terasa diperkotak-katikkan apabila Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly. Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Hakim Bee Lan, membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan terbabit, hakikatnya suatu tamparan kerana kalimah Allah di semenanjung hanya digunakan oleh umat Islam. Meskipun penghakiman dibuat berdasarkan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, tetapi di bawah undang-undang yang sama, Artikel 3(1), status agama Islam sebagai agama rasmi negara diberi haknya, tetapi boleh diperlekehkan!
Sekalipun jika keputusan ini berubah selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, bangsa Melayu dan umat Islam negara ini perlu mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Hakikat kalimah Allah membabitkan akidah umat Islam bukan saja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia dan God dalam bahasa Melayu akan diterjemahkan sebagai Tuhan selain Allah hanya hadir dalam kepercayaan umat Islam tidak boleh dinafikan walau sesiapa juga! Meskipun kelompok Melayu liberal melihat perkara ini sebagai remeh kerana hanya membabitkan persoalan bahasa, tetapi hakikat bersama-samanya hadir kepercayaan umat Islam, justeru wajib diberi perhatian kerana ia bakal mempengaruhi masa depan agama dan bangsa Melayu negara ini.
Alasan kalimah Allah sudah lama digunakan dalam Bible di Indonesia ekoran agama Kristian di sana disebarkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu sehingga kitab mereka diguna pakai di Sabah dan Sarawak, tidak boleh diterima sebagai hujah selain perlu dinilai sebaik-baiknya kerana tugas mubaligh memerangkap sasaran mereka! Perlu diingat dalam penterjemahan sesebuah karya, aspek budaya dan kepercayaan dalam teks yang diterjemah serta kedua-dua aspek terbabit dalam bahasa sasaran terjemahan perlu diambil kira bagi mengelakkan daripada berlakunya terjemahan semberono. Kelompok yang masih mahu mempertahankan bahawa perkataan Allah boleh dikongsi di kalangan penganut agama Samawi perlu mengambil kira aspek bahawa penganut Kristian hari ini menghayati fahaman dalam Bible yang sudah dipinda kandungannya. Justeru, Jesus dalam konteks mereka tidak akan sekali-kali sama dengan nabi Isa bagi umat Islam meskipun kedua-dua agama berkongsi nabi yang sama dan dalam Islam tidak ada konsep Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci, seperti dalam Kristian!
Peristiwa ini juga seolah-olah mengulangi sejarah malang bangsa Melayu dan umat Islam dalam kes Natrah (Nadra@ Hurbedina Maria Hertogh @ Bertha) di Singapura apabila mahkamah Inggeris memberi kemenangan kepada Kristian @ penjajah, cuma berbeza dari segi reaksi. Keputusan mahkamah Inggeris dalam kes itu menyebabkan umat Islam tanpa mengira fahaman politik dan bangsa, bangkit menentang sehingga terjadi rusuhan besar-besaran pada 12 Disember 1950 sehingga 18 nyawa melayang, tetapi dalam kes Herald The Catholic Weekly, sebaliknya! Umat Islam dan bangsa Melayu negara ini masih berpecah dari segi pandangan selain reaksi secara kecil-kecilan saja meskipun hakikat agama mereka diperlekeh oleh undang-undang sivil dan nampak sangat sikap berlembut, terlalu bertolak ansur dan telus sejak sekian lama, akhirnya memakan diri! Jika penentangan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menyaksikan Keranda 152 diarak sekali lagi selepas pertama kali diarak pada 3 Mac 1967 kerana mahu memartabatkan bahasa Melayu, tetapi kes Herald The Catholic Weekly tidak! Orang Melayu dan umat Islam negara ini perlu mengambil iktibar daripada peristiwa ini bahawa mereka perlu bersatu demi menyelamatkan maruah agama dan bangsa serta tidak sekali-kali merelakan diri daripada terperangkap dalam sandiwara kelompok tertentu. Apakah hakim hanya akan mengambil kira penggunaan kalimah Allah oleh Gereja Katolik sebagai mengganggu ketenteraman sekiranya berlaku perarakan besar-besaran bangsa Melayu dan umat Islam di seluruh negara sehingga paderi hilang nyawa atau gereja dibakar sebagai tanda protes? Tidakkah peristiwa ini jelas menunjukkan agenda tersembunyi Gereja Katolik yang bermati-matian mahukan kalimah Allah sedangkan semua tahu ramai rakyat negara ini tanpa mengira agama dan bangsa, tergila-gilakan bahasa Inggeris dan mengapa dalam kes ini bahasa Melayu menjadi pilihan!
i

Sehari 1 Hadis: Kemahuan Manusia Mendedahkan Kepada Kefakiran

Para pelajar sekalian, jangan jadikan permintaan hawa nafsu sebagai tuhan yang berkuasa. Hawa nafsu perlu dikawal agar tidak menjadikan kehidupan kita hiruk pikuk dengan dosa. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud:
"Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas kamu kalau dibentangkan dunia untuk kamu sebagaimana yang pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu sebagaimana dulu membinasakan mereka." – Riwayat Bukhari dan Muslim.
Pembaziran adalah antara perbuatan yang perlu dielakkan. Makanlah di dewan makan sekolah atau kantin dengan tidak gelojoh serta tidak berlaku pembaziran.

Allah berfirman dalam Surah Al-Israa' ayat 27 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya."
Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

06 January 2010

Sehari 1 Hadis: Sesal Dahulu Pendapatan Sesal Kemudian Tiada Gunanya

Para pelajar sekalian,
Kita wajar bersedia dengan pelbagai persiapan menjelang hari esok. Bagi pelajar perjuangan utama kalian adalah menuntut ilmu. Zaman sekarang memerlukan ilmu pengetahuan yang tercatat dalam setiap sijil. Semua pekerjaan yang dipohon bergantung kepada kecemerlangan sijil. Sekalipun ada yang berjaya tanpa tertulis dengan sekeping ijazah, namun alangkah baiknya kita bersedia dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran demi mencari masa depan yang cerah


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Nabi s.a.w bersabda:”Setiap yang masuk ke dalam syurga diperlihatkan kepadanya tempat diamnya di dalam neraka jika seandainya dia melakukan kesalahan, supaya dengan itu bertambah syukurnya kepada Tuhan. Setiap orang yang masuk ke dalam neraka, diperlihatkan kepadanya tempat diamnya di dalam syurga jika seandainya dia melakukan perbuatan baik, supaya dengan itu timbul penyesalannya.”

(Bukhari)

Pepatah Arab berbunyi: "Agama menjadi sendi hidup, pengaruh menjadi penjaganya. Jika tidak bersendi, runtuhlah hidup dan kalau tidak berpenjaga, binasalah hayat. Kerana orang yang terhormat itu, kehormatannya itulah yang melarangnya berbuat jahat."
Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

05 January 2010

Jenis-Jenis Nafsu

1- Nafsu al-Mutmainnah ialah jiwa tenang, berserah kepada Allah, tidak berubah darjah keimanannya

2 - Nafsu al-Radiah (jiwa sentiasa reda dengan pemberian Allah, baik ataupun buruk)

3 - Nafsu al-Mardiah (peringkat penguasaan ke atas nafsu dimiliki wali dan sahabat nabi)

4 - Nafsu al-Kamil (nafsu yang sempurna dimiliki nabi dan rasul)

03 January 2010

2010: Keindahan Subuh Yang Permai


Pagi sabtu yang permai, waktu subuh mendingin meninggalkan sepohon ingatan, aku bangkit di sisi pagi.
Sikap Dengki Boleh Rosakkan Perpaduan Ummah
Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

PERBUATAN menzalimi hak dan mencemarkan kehormatan sesama umat Islam dan bukan Islam amat dilarang Allah. Perpaduan yang dianjurkan Islam mengajak seluruh umat Islam bersatu padu dan berusaha menghidupkan budaya hormat-menghormati serta amalan saling melengkapi mesti diutamakan dalam semua aspek kehidupan seharian seperti maksud firman Allah, "Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga dekat, dan jiran tetangga jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri" (An-Nisa, :36). Perbuatan zalim ditakrifkan sebagai tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perbuatan seumpama menceritakan perihal sulit kerjaya rakan sekerja di luar lingkungan tempat kerja, memburuk-buruk rakan setugas dengan niat mencemarkan reputasinya, ataupun menggunakan kuasa dan kedudukan untuk menjadikan rakan sejawatan diberikan tugas di luar kemampuan atau di luar bidang tugasnya. Organisasi dan jabatan yang berjaya sebenarnya memerlukan perpaduan dan suasana harmonis yang berlangsung antara rakan sejawatan bagi membolehkan wujudnya persekitaran kerja yang mantap serta bersepadu. ;
Kerenah rakan sekerja antara virus paling berbahaya yang mampu merosakkan keberkesanan mana-mana matlamat organisasi sekiranya tidak segera diatasi majikan. Keprihatinan majikan dalam memerhatikan kerenah pekerja mengikut pengurusannya wajar ditekankan agar tidak berlaku sebarang unsur penindasan, manipulasi serta penganiayaan terhadap orang bawahannya. Allah Taala menciptakan manusia dalam pelbagai bentuk kebolehan, kemahiran yang berbeza dan sebagainya maka, menjadi tugas majikan untuk menggunakan variasi kebolehan pekerjanya
untuk menjana organisasi selain tidak memungkinkan wujudnya persekitaran yang tidak sihat. Allah dalam memastikan manusia tidak berlaku zalim ke atas sesama makhluknya menjelaskan dalam firman-Nya, "Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan". (al-Qasas: 77). Sifat suka memperkecilkan kebolehan atau memperlekehkan orang lain adalah antara sifat keji yang perlu dielakkan. Barang kali terbitnya perasaan sombong, megah dan riak kerana golongan ini memiliki kelebihan yang diberikan Allah dalam takdirnya berbanding orang lain.
Sifat keji ini pasti membarah dalam diri menjadikan golongan itu lebih suka melihat orang lain dengan pandangan rendah dan hina sebagaimana maksud firman Allah, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".( Al-Hujuraat: 11). Umat Islam perlu menyedari amaran Allah mengenai bahaya sifat mazmumah. Setiap perbuatan zalim dilakukan bakal mengundang kemurkaan Allah serta tetap diberikan balasan yang setimpal. Firman-Nya, "Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. (Luqman:16) Seterusnya kehidupan kita kelak tidak terlepas dari rentetan bala Allah lantaran perbuatan menzalimi manusia lain. Perlu diingat! Doa orang yang dizalimi tidak terhijab dengan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, " Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding." (Bukhari). Balasan bala atas orang menzalimi hak manusia lain ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan jagalah diri kamu daripada dosa yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya". ( Al-Anfal: 25)
(Disiarkan dalam Berita Harian 12.01.20109 (Sabtu)

01 January 2010

Sehari 1 Hadis: Hindar Perbuatan Menzalimi Orang Lain


Oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding.” (Bukhari).

Dalam kehidupan seharian, kita mungkin terlupa untuk menjaga mulut dan tingkah laku kita agar tidak dianggap menzalimi orang lain. Komunti yang sentiasa berada di dalam kehidupan perlu djaga semoga dijauhi dari tersilap kata, fitnah, hinaan, dan sebagainya.


Perlu diingat, doa orang teraniaya amatlah mustajab.

30 December 2009

GAPENA: Pengalaman Sebentar

Oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar
Ramai yang menganggapkan tempat orang sastera macam Pak Samad. Namun inilah persatuan yang membela bahasa, budaya dan warisan Melayu di negara kita dan serantau.
Di belakangnya terdapat pelbagai persatuan penulis termasuklah PENA yang lebih lantang memperjuangkan isu yang berkaitan.
Hampir 3 tahun aku berulang alik dan menumpang tidur di bilik tamu rumah Gapena yang hanya perlu dibayar dengan jumlah yang cukup sederhana.
Kejayaan mengembalikan keutamaan bahasa Melayu dalam pengajaran Matematik dan Sains adalah hasil perjuangan bersama persatuan penulis dan sasterawan yang lebih menonjol seperti Pak Samad (A. Samad Said), dan ramai lagi yang berani menyuarakan pandangan termasuk Ismail Hussin yang menerajui GAPENA (Gabungan Penulis Nasional)
Posted by Picasa

Minda Penulis Blog: Tahun 2010, Perlu Perubahan & Penambahbaikan Dalam Semua Aspek

Oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

1 Januari 2010 membuka halaman baru bagi sesetengah individu yang inginkan pembaharuan dalam kehidupan. Segala pengalaman 2009 yang lalu perlu dimuhasabahkan untuk memulakan sesi penghidupan yang lebih teratur.
Kualiti dan kesungguhan kerja wajar diutamakan menjelang 2010 nanti lantaran isu khidmat bidang pendidikan khususnya berkaitan dengan kerjaya guru mulai diperkatakan oleh semua pihak yang mahukan sesuatu yang mujarab terhasil dari tangan guru sekalipun tidak ramai yang mengetahui beban dan keterhadan kuasa dan masa guru pada zaman ini berbanding 10 tahun yang lalu yang mana "kuasa guru" di suatu masa dahulu adalah cukup keramat.

Segala kekurangan yang berlaku dalam catatan kehidupan 2009 wajar diperbaiki. Melihat kepada perkembanan semasa yang menghimpit sesetengah masyarakat yang kian tandus dengan pengurusan kewangan hinggalah membawa kepada kancah peminjaman wang dari ceti, along ataupun syarikat kewangan berlesen yang sudah pasti mengenakan caj dan kadar bayaran faedah yang tinggi kepada mereka yang dalam himpitan masalah kewangan.
Justeru pengurusan diri, dan kewangan menjadi titik penentu kebahagian hidup sepanjang tahun hadapan.
Renungikan hadis ini. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari.”

Riwayat al-Baihaqi

Menunggu 4 Januari 2010: Antara Keazaman dan Cabaran

Oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

Isnin ini, kehidupan seorang guru akan bermula. Kehidupan akan menjadi lebih teratur dengan hari yang bekerja. Cuti selama sebulan menjadikan rutin harian berubah.
Bagi calon guru yang baru mendapat tahu tempat penempatan pertamanya sebagai guru, pasti berdebar dengan pelbagai tafsiran dan tekaan.
Bagi pelajar memulakan persekolahan tahun baru pasti merumitkan setelah cuti yang lama membebalkan pemikiran dek tidur yang lama, tapi ada yang lebih cekal telah bersedia dengan tajuk-tajuk di tingkatan yang bakal diduduki.
Semua sekolah akan bermesyuarat sebelum hari pertama persekolahan dibuka. Tugas dan tanggungjawab baru akan dibentang oleh pengetua kepada setiap guru. Jadi - debaran 2009 adalah milik semua individu yang sudah bersedia dengan keazaman dan cabaran.

Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya”.

Bukhari Muslim
Selamat bertugas.

Tujuh Golongan Insan Contoh

Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.”

Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah

14 November 2009

Teori hari kiamat


Klik pada gambar untuk membaca rencana ini.

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU