05 November 2012

4 Hari 3 Malam di Jasin, Melaka: Karnival Sukan Asrama Vokasional & Teknik Peringkat Kebangsaan Kali Ke2

Salam para pembaca...
Hari pertama peperiksaan SPM 2012 bermula, pelajar telah melangkahi Dewan Peperiksaan Al-Azim dengan cemas, gembira dan berdebar-debar.

Pada 31 Okober saya bertolak ke Melaka bagi mengiringi pelajar ke Karnival Sukan Asrama Vokasional  & Teknik Peringkat Kebangsaan Kali Ke2 yang bertempat di SMT Jasin, Melaka sebagai tempat penginapan peserta. Tugas saya cuma menguruskan pelajar yang menyertai pertandingan dikir barat sebagai wakil Zon Pulau Pinang.

Jadi selama tiga malam terpaksa menginap di dorm bersama pelajar di asrama SMT Jasin, seperti hidup di zaman persekolahan dengan telatah pelajar yang tengah membesar. Dapatlah sedikit menguasai bahasa mereka dan tingkah laku serta apa yang dibincangkan sesama mereka selama 3 malam.

Sesungguhnya jauh perjalanan, luas pengamatan. SMT Jasin cukup istemewa lokasinya kerana setiap bangunan terpisah dek tapak asalnya merupakan kawasan berbukit. Asrama berada di paras agak tinggi berbanding bangunan sekolah dan para penghuni kena banyak menapak dan menaiki tangga yang tinggi setiap hari.


SMT Jasin ke pekan Jasin tidaklah jauh dan banyak jalan yang boleh dilalui sama ada jauh atau dekat sahaja. Jalan dekat melalui kampung Kelubi lebih kurang 6 km sahaja untuk sampai ke pekan Jasin. Tidaklah besar pekannya tetapi sudah mencukupi dengan adanya hampir semua bank, pasar raya dan stesen bas.

Kesempatan menunaikan solat Jumaat pada tengah hari di Masjid Kg Kelubi, telah memberikan beberapa pengalaman baru. Saya sempat mengambil gambar di sebelah ini. Digantung papan kenyataan jumlah bayaran untuk upah jurunikah, pengali kubur, dan caj tanah perkuburan. Apa yang peliknya ada kos Meruang.
Ni yang menjadi pertanyaan. Kena bertanya orang Melaka.





Paling menarik di tengah pekannya ada tempat rehat disertai kemudahan senaman, laluan berjogging, rehat dan santai berhadapan Balai Polis Jassin (kini dikosongkan).

Di awal pagi, bolehlah saya bersenam di sini kerana acara dikir barat sudah selesai dipertandingkan
Saya terfikir betapa perlu setiap taman disediakan alat-alat senaman sebegini. Rasanya kalau di Pulau Pinang ada disediakan jugak terutama di kawasan penduduknya orang cina.
Bersenam perlu diutamakan bagi setiap individu pada hari ini kerana boleh menghilangkan stress terutama kerja-kerja yang memberikan tekanan. Saya amat tertarik pada papan iklan ini yang tercacak di tengah taman Jasin ini. Sesiapa yang datang melakukan perkara tidak senonoh dan berpakaian menjolok mata akan dikenakan denda RM1000.00 atau 6 bulan penjara. Baguslah, di negeri Melaka ini ada hukum Islamnya terlaksana. Tahniah! Jarang jumpa papan tanda ini di negari lain. Patut contohi dan kuatkuasakan peraturan ini dengan bersungguh-sungguh, mungkin dapatkan kurangkan kes anak luar nikah hasil hubungan haram di taman-taman yang ada sudut tersembunyi.

   
Kerajaan negeri bersama jabatan seperti Majlis Perbandaran di bawahnya perlu memastikan alat-alat senaman sebegini dapat disediakan di taman-taman yang menjadi tempat penduduk sekitar berjoging, bersenam dan sebagainya.



Inilah tempat penginapan yang perlu dilalui selama 3 malam 4 hari di dalam asrama SMT Jasin, Melaka.

Pengalaman ini jarang diperolehi kerana kebiasaan tempat penginapan bagi guru ialah di hotel. Alhamdulillah, inipun sudah memadai untuk menerokai alam kehidupan di asrama. Barulah kita tahu masalah dan apa yang difikirkan pelajar yang hidup di asrama.


Hari terakhir pada 3 hb November 2012 para peserta menaiki bas untuk kembali ke sekolah masing-masing di seluruh negara. Coretan: Muhd Shatar

03 November 2012

Majlis Restu SMTSPP berlangsung damai untuk iringi kecemerlangan para pelajar dalam SPM 2012

Majlis Restu SPM 2012 SMV Seberang Perai berlansung dengan tenang dan khusuk. Kelihatan para pelajar berdoa agar diberkati segala usaha yang telah dilakukan sepanjang tahun.  
Kelihatan PK Hem, En Abdul Rahman Mahmood sedang membaca surah Yasin dengan mengharapkan kesejateraan dan keselamatan diberikan Allah untuk anak-anak pelajar.
Keseluruhan para pelajar menyerah dan mengharap serta bertawakal kepada Allah SWT agar tuah, rahmat dan hidayah diberikan buat mereka...





Coretan: Muhd Shatar

24 October 2012

Tip Menghafal Istilah Fekah/Akidah/Sejarah Islam Yang Mustahak untuk SPM 2012

1. Mulhid: orang yang tidak memiliki sebarang agama
2. Asi: pelaku dosa besar/orang yang melanggar hukum agama
3. Musyrik: orang yang menyekutukan Allah
4. Bahai: ajaran sesat berasal dari Iran
5. Qadiani: ajaran sesat berasal dari India
6. Taslim: ajaran sesat tertua di Malaysia
7. Musahaqah: hubungan sejenis perempuan sesama perempuan
8. Musaharah: persemendaan
7. Istitaah: berkemampuan
8. Rukhsah: kelonggaran yang diberikan Allah dalam keadaan darurat
9. Jamak: menghimpunkan (himpun solat zuhur dan asar)
10. Qasar: memendikkan (mengurangkan empat rakaat solat zukur kepada dua rakaat)
11. Musafir: merujuk kepada orang yang memulakan perjalanan jauh melebihi dua marhalah bagi tujuan baik
12. Jizyah: cukai dikenakan kepada orang kafir yang tinggal di negara Islam
13. Kafir Zimmi: orang kafir yang taat kepada pemerintah Islam
14. Kafir Harbi: orang kafir yang wajib diperangi kerana menjadi ancaman kepada orang Islam
15. Sunni:merujuk kepada ahli Sunnah wal Jamaah iaitu pengikut kepada 4 mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.
16. Urat Halkum dan Merih: urat yang perlu diputuskan dalam ibadat sembelihan atau syarat sah sembelihan
17. Iddah: tempoh larangan berkahwin bagi perempuan yang diceraikan atau kematian suami
18. Fasakh: pembatalan perkahwinan dengan kuasa kadi atas sebab seperti suami hilang, suami berpenyakit merbahaya, suami menzalimi isteri dan dsb.
19. al-Ana'am: binatang ternakan yang menjadi syarat sah qurban/akikah
20. Lian: sumpah laknat untuk membuktikan pasangan berzina atau menafikan tuduhan antara suami dan isteri.
21. Zihar: perbuatan menyamakan belakang isteri oleh suami bagi tujuan menghina isteri atau mengharamkan persetubuhan.
22. Talak taklik: cerai yang disyaratkan dengan perkara lain
23. Khuluk: isteri menebus cerai dari suami dengan menyanggupi bayar sejumlah harta yang dipersetujui suami.
24. Lafaz Kinayah: lafaz secara sindiran atau kiasan dalam cerai, lamaran atau rujuk
25. Lafaz Soreh: lafaz secara jelas dan nyata dalam cerai, lamaran atau rujuk




23 October 2012

Jalan-ialan ke Tengah Bandar Georgetown, Penang: Cari Buku Lama Yang Tinggi Khazanahnya

Salam buat pembaca budiman,

Pulau Pinang bukan sekadar menyediakan tempat menarik yang perlu dikunjungi, tetapi ada sesuatu yang perlu diberi perhatian. Anda mungkin bukan kaki buku atau pembeli tetap buku-buku tetapi ada masih ada kewajipan mendalami ilmu agama kerana proses mencari ilmu adalah satu usaha berterusan. Pasar Chowrasta yang terletak di hadapan Balai Polis Pulau Pinang atau di Jalan Chowrasta. Berhampiran Pasar Chowrasta terdapat Bangunan Mydin yang menjadi tumpuan masyarakat di sini.

Beginilah keadaan dalam deretan kedai
buku lama di tingkat atas Pasar Chowrasta.

Paling tidak, karya V.S Naipul berjudul India dalam bahasa Inggeris pun boleh didapati di sini. Penulis juga berpeluang memperolehi beberapa buah buku agama dan sastera. Isi kandungannya tetap bermanfaat biarpun tarikh percetakan tahun 80an, 90an.

  











Berhampiran Pasar Chowrasta, terdapat Lebuh Cambell yang mana - jika masuk melalui pintu gerbang ini, maka para pengunjung boleh jalan terus (jalan kaki) lebih kurang 5-8 minit akan dipertemukan dengan Masjid Kapitan Keling. (Masjid lama menjadi simbol kekuatan Islam oleh kaum India Muslim - mamak).

Sekiranya ingin mendapatkan nasi beriani paling istemewa, para pengunjung perlu meyeberangi jalan di hadapan Masjid Kapitan Keling dan berjalan ke aras hadapan ( 3 minit) akan bertemu Restoren Kapitan yang menyediakan nasi beriani dan roti naan ayam tandori paling lazat.




Bangunan Mydin Emporium di hadapan Pasar Chowrasta bersebelahan balai polis Pulau Pinang.















Para pengunjung yang ingin ke Pasar Chowrasta dinasihati meletakkan kenderaan di bangunan MPSP  yang terletak di belakang Bangunan Mydin dengan kadar RM 2.00 sekali masuk setiap Ahad. (Hari lain seringgit 1 jam)

Bangunan berwarna biru adalah tempat letak kereta
di bawah pengurusan MPSP. Para pengunjung boleh
melintasi Bangunan Mydin
perlu masuk ke kiri  untuk ke belakang
Bangunan Mydin sebelum bertemu bangunan biru ini.







Inilah deratan kedai jeruk seperti Jeruk Pak Ali, Jeruk Aisyah dan pelbagai lagi kedai berhampiran Pasar Chowrasta.















Dalam Pasar Chowrasta, terdapat pelbagai pilihan baju Melayu, kain tudung solat (kain kano: istilah kelate), kain samping, kain tudung dan pelbagai jenis kain. Penulis teringat akan keadaan di Masjid India di Kuala Lumpur apabila berkunjung ke sini.












Apabila pulang ke tanah besar Semenanjung Malaysia, jangan lupa naik feri secara percuma yang disediakan oleh Penang Port. Setiap perjalanan kembali ke tanah besar dari Pulau Pinang adalah percuma. Jangan lepaskan peluang berada di atas feri yang menjadi simbol anda telah berkunjung ke Pulau Pinang. (Di sini orang di bahagian pulau disebut oleh orang kebanyakan sebagai orang tanjung)


Kenderaan disusun di atas feri di bahagian atas.

Coretan: Muhd Shatar










15 October 2012

Jalan-Jalan ke Kuala Kangsar: Masjid Ridzwaniah di Tengah Bandar Diraja

Masjid Ridzwaniah yang terletak di tengah bandar Kuala Kangsar antara tempat persinggahan paling tepat menunaikan solat sambil berehat dari penat memandu.









Dalam Masjid Ridzwaniah agak luas dan selesa dilengkapi air-cond bagi ketenangan jemaah yang menunaikan solat.
Penulis yang sempat menunaikan solat Zuhur telah dapat menyaksikan para jemaah yang agak ramai berpusu-pusu masuk ke perkarangan masjid sebaik azan diperdengarkan. Sesudah solat terdapat beberapa kelompok orang di sini berhimpun dan bercakap-cakap menandakan masjid adalah simbol penyatuan.
Paling menarik, yang membezakan dan menjadikan
Masjid Ridzwaniah unik kerana terdapat bilik bacaan bagi para jemaah memenuhkan minda dengan perkembangan semasa. Terdapat akhbar terkini disediakan menjadikan bilik bacaan seperti hidup dan beroperasi. Cuma ketiadaan buku dan bacaan lain untuk dipenuhkan di rak.
Penulis sempat memasuki bilik bacaan untuk menikmati perkembangan semasa terkini. Tergetus di hati alangkah baiknya ada buku-buku agama yang boleh dibaca sebentar sementara menghilangkan penat memandu dari Ipoh untuk ke Pulau Pinang.
Kelihatan dari sebelah masjid Maktab Melayu Kuala Kangsar tersergam. Gambar diambil menggunakan camera telefon bimbit kurang jelas kelihatan MMKK di sebelah Masjid Ridzwaniah.

Sememangnya sangat sejuk kawasan di sini kerana dibumbui redup pokok yang besar batang pokoknya...

Masjid Ridzwaniah, sangat sesuai menjadi persinggahan bagi mereka yang dari Taiping ke Ipoh atau dari Ipoh melalui Sungai Siput untuk ke Kuala Kangsar tanpa melalui lebuh raya PLUS. 

Dari  Kuala Kangsar ke Sungai Siput jaraknya lebih kurang 35 km manakala dari Sungai Siput ke Ipoh hampir 20 km.







Coretan Perjalanan: Muhd Shatar

12 October 2012

Tonton Bola Sepak - Kelantan Vs Selangor 2012: Jangan Lupa Utamakan Solat

Salam kepada para pembaca,

Datuk Hamidin Amin, Pengurus Pasukan Selangor
Malam ini - pasti mengamit dan meresahkan peminat bola sepak khususnya anak watan Kelantan dan Selangor. Ya! Pertembungan dua gergasi lama dan gergasi baru sememangnya dinantikan. Secara umumnya pasukan Selangor akan berbangga dengan koleksi kejuaraan Piala Malaysia sebanyak 32 kali berbanding pasukan Kelantan, hanya sekali mengucupnya pada tahun 2010.
Biarlah tersimpan dalam catatan sejarah!
Malam ini kita mahu menyaksikan sebuah perlawanan klasik tanpa bedilan mercun, balingan objek dan provokasi sesama penonton..
Tetapi kepada yang sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit untuk ke stadium, jangan lupa solat terlebih dahulu dan memakai pakaian menutup aurat.
Lebih-lebih lagi perempuan,

Kadangkala kita perlu bertanya: Adakah wang yang dihabiskan untuk tujuan memuaskan hati bagi memenuhi hobi tersendiri akan mendapat keredaan Allah SWT. Sebaiknya keutamaan perbelanjaan wang untuk menjadi umat berilmu, membiasakan bersedekah atau rajin ke majlis penyampaian ilmu adalah lebih baik dari ke stadium ataupun seimbangkan keduanya. Hari ini ke stadium, hujung minggu depan pula kita ke kuliah maghrib, forum perdana Islam, ataupun menyertai kumpulan tabligh yang terdekat.

Apapun, malam nanti tepat jam 8.45 malam di kaca tv akan tersiar perlawanan menarik ini. Tak salahnya untuk habiskan sejam dua bagi menyaksikan perlawanan bola (ibu segala perlawanan: kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan 2012 -Piala Malaysia-)
Datuk Anuar Musa, seru pemain Kelantan tingkatkan usaha. 


Coretan: Muhd Shatar

11 October 2012

Bahan Bacaan Umum: Karya Sastera Meningkatkan Kekuatan Bahasa Dalam Penulisan

Salam para pembaca budiman,

Bagi mencapai kemuliaan peribadi, kekuatan kefahaman agama akan membantu seseorang dalam proses pembentukan jati diri, jiwa dan personaliti berfikrah mahmudah.
Karya sastera juga ada peranan dalam memaknakan rasa kemanusiaan kepada pemikiran seseorang. Karya yang baik akan mampu menyedarkan masyarakat terhadap dari terus tertipu, tertindas dan diambil hak.
Novel Putera Gunung Tahan karya Ishak Haji Muhammad sangat tepat dalam membangkit semangat membenci penjajah Inggeris suatu ketika dahulu.

Ishak Haji Muhammad ataupun Pak Sako, saya mula kenali sejak bangku sekolah dahulu melalui bukunya Pepatah Petitih jilid satu dan dua telah berjaya membuka pintu akal agar kuat berfikir. Coletahnya agak sinis menampar golongan ataupun individu yang dirasakan merosakkan nilai, budaya atau agama di negara kita. Cerita-cerita lucu dsandarkan kepada pepatah melayu diwariskan telah membuka cara berfikir atau merangsang minda untuk mengetahui kehidupan luar yang mencabar.

Novel S.M Zakir yang berjudul Ahli Politik setelah dibaca berulang kali tanpa menimbulkan jemu sudah cukup berkesan dalam menghuraikan situasi politik, masyarakat dan  perkembangan sosial pada masa kini.

Para pelajar perlu mendekatkan diri dengan karya sastera daripada sekadar membaca novel cinta yang berlambakan di setiap premis atau stesen bas.

Karya yang baik dan bermutu mampu meningkatkan kefahaman, kesedaran dan cara berfikir yang kritis. Mudah-mudahan kita sukar ditipu oleh mana-mana pihak lantaran kemalasan membaca dan menerokai penjelajahan maklumat dan cerita.

Coretan: Muhd Shatar 

10 October 2012

Pendidikan Sains Al-Quran: Buku Disyorkan


Salam para pelajar dirahmati Allah SWT,

Ketika menghabiskan pembacaan buku Fenomena Al-Quran karya Malik Bennabi, saya amat teruja dengan penyelidikan penulis buku ini yang merupakan pemikir rahsia ayat-ayat suci al-Quran terhadap kajian sains pada hari ini yang jauh ketinggalan dengan apa yang terdapat dalam nas al-Quran.

Dalam buku Fenomena al-Quran ini (terjemahan dari teks asal The Qur’anic Phenomenon) juga mengupas tentang kisah nabi Yusuf a.s dalam al-Quran dan Bible yang disertai analisis perbandingan kedua-dua versi tersebut.
Para pembaca juga boleh mengetahui beberapa aspek al-Quran yang menakjubkan. 

Selain, saya juga berkesempatan menelaah hasil kajian Dr. Danial Zainal Abidin yang turut memperjuangkan betapa masyarakat hari ini perlu memberi penumpuan kepada kedalaman kefahaman maksud ayat suci al-Quran bukan sekadar tahu mengeja, membaca dan melagukan al-quran.
Justeru, setelah menghabiskan pembacaan dua buku ini selain sentiasa merujuk kepada al-Quran ayat-ayat yang mengajak kita berfikir tentang kebenaran al-Quran, saya merasakan perlu diterapkan dalam proses pembelajaran dan pengajaran di kelas tentang bukti kajian sains yang disertakan pengucapan al-Quran lebih mendahului. Cuma para pelajar perlu didedahkan dengan paparan multimedia sebagai rangsangan kepada ketakjuban bukti kebenaran al-Quran mengatasi penemuan saintis terkini.
Para pendidik (khusus guru mata pelajaran Pendidikan Islam) boleh mencadangkan para pelajar agar membaca kedua buku ini. Fenomena al-Quran (terbitan ITNM) dan Quran Saintifik (PTS) di dalam kelas bagi tujuan pendedahan dan bacaan bermutu kepada pelajar.

Coretan: Muhd Shatar 

09 October 2012

Sembah Matahari Awal Pagi


Kelihatan para pelajar sedang sujud. Jangan terkejut! Mereka bukan sembah matahari. 
Ini adalah satu cara atau hukuman ke atas para pelajar yang tidak turun solat subuh berjemaah di surau sekolah. Lalu mereka diarahkan bersujud sambil beristighfar memohon ampun kepada Allah.  
Kelihatan Ust Mud, warden SMTSPPP sedang berusaha mendidik para pelajar supaya sedar kepentingan solat berjemaah.

05 October 2012

Tip Menjawab Bahagian Tokoh Pendidikan Islam SPM 2012

Salam para pelajar yang dirahmati Allah,

Bab tokoh tingkatan 4 dan 5 antara tajuk paling kurang diminati para pelajar sekalian.
Namun demikian, ada cara untuk memperolehi markah di bahagian ini dengan mudah.

Pertama: Sekiranya soalan -

1. Berikan dua sumbangan Imam Syafie kepada perkembangan Islam?
Jawapan:
- Mengasaskan mazhab Syafie
- Mengarang kitab al-Risalah dan al-Umm

* Jika ditanya tentang sumbangan Imam Malik, Ahmad bin Hanbal atau Imam Abu Hanifah - maka pelajar perlu menjawab: mengasaskan mazhab dan perlu menghafal kitab yang dihasilkan. Maka dengan kata lain pelajar sekurangnya mengetahui dua kitab dihasilkan oleh tokoh mazhab.

Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

03 October 2012

Doa Majlis Mohon Kejayaan Peperiksaan SPM/SPM

Doa Majlis Mohon Kejayaan Peperiksaan SPM/SPM
  
Al-Fatihah,

Alhamdulillah,
(Cari doa permulaan) diikuti dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.


Segala pujian dan syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan rahmat-Nya dapat kita sama-sama meneruskan kehidupan dengan selamat dan sejahtera

Ya, Allah, Ya, Rahman Ya, Rahim
Kami memohon petunjuk dan hidayah dari-Mu, mudah-mudahan dengannya dapatlah kami beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Kami menadah tangan memohon agar segala usaha kami dalam menghadapi peperiksaan SPM/STPM diberkati dan mendapat pertolongan dari-Mu Ya Allah,  mudah-mudahan akan menjadikan kami bertambah daya ingatan dan dapat menjawab dalam peperikaan dengan lancar dan tepat.

Ya, Allah, Ya, Rahman Ya, Rahim
Kami juga memohon agar segala ilmu yang kami pelajari selama ini dapat dimanfaatkan dalam kehidupan yang akan datang untuk kesejateraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Ya, Allah, Ya, Rahman Ya, Rahim
Rahmatilah semua para guru kami yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan khidmat tidak terhingga dalam menyampaikan ilmu kepada kami dengan bersungguh-sungguh.

Ya, Allah, Ya, Rahman Ya, Rahim
Ampunilah segala dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa guru-guru kami dan dosa seluruh umat Islam di serata dunia. Jauhilah kami dari segala mala petaka dan bala bencana yang menyebabkan kami terjerumus ke lembah kehinaan, kesengsaraan dan penderitaan.

Ya, Allah, Ya, Rahman Ya, Rahim
Berilah kejayaan yang cemerlang buat kami semua dalam peperiksaan SPM/STPM tahun ini.
Ya, Allah, Ya, Rahman Ya, Rahim
Berilah kejayaan yang cemerlang buat kami semua dalam peperiksaan SPM/STPM tahun ini.
Ya, Allah, Ya, Rahman Ya, Rahim
Berilah kejayaan yang cemerlang buat kami semua dalam peperiksaan SPM/STPM tahun ini.

Penutup doa
(Carilah mana-mana doa penutup seperti doa dijauhi api dan azab neraka Allah SWT)

Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar 

28 September 2012

Peringatan Jumaat: Tip Untuk Menjadi Orang Kaya

Salam para pembaca pada hari jumaat yang dihormati Allah SWT, 

Saya mencari beberapa ayat al-Quran tentang kelebihan bersedakah dan bagaimana Allah membuat perumpamaan terhadap orang yang bersedekah. Lantas saya ingin berkongsi sedikit pengetahuan bagi mencari kesempurnaan diri sebagai tiket ke syurga Allah Taala. Saya sertakan petikan ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah sebagai hujah dalam memperkatakan tentang kelebihan bersedakah. Konsepnya mudah, lebih banyak pinjaman kita hulurkan ke jalan Allah, nescaya Allah akan melipatgandakan rezeki buat kita. Justeru kalimat pinjaman dalam ayat 245 bererti sedekah kita kepada jalan Allah adalah bersifat pinjaman yangdiganti oleh Allah. Maka  janganlah takut untuk mengeluarkan wang apabila berpeluang bersedekah: Firman Allah SWT yang bermaksud:

          Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan meperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.(245: al-Baqarah)

Perumpamaan tentang amalan bersedekah:

Firman Allah SWT yang bermaksud:
           
                  Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (261: al-Baqarah)

Dalam satu lagi ayat al-Quran menyebut tentang perumpamaan orang bersedekah ialah:
Firman Allah SWT yang bermaksud:

        Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya karena mencari keridhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat. (265: al-Baqarah)

Coretan: Muhd Shatar

26 September 2012

Catatan Perjalanan: Bukit Merah Lake Town Resort

Chalet di atas permukaan tasik menukar pandangan.
Salam sejahtera,

Percutian sememangnya merehatkan minda. Sesudah balik dari menyaksikan keindahan alam terutamanya panorama tasik di permukaan pagi atau saat terakhir matahari terbenam antara keindahan jiwa yang dicari.

Sabtu dan Ahad di Bukit Merah Lake Town Resort sememangnya memberikan kelapangan. Jalan ke sini amat mudah apabila menggunakan lebuhraya PLUS Utara Selatan. Cari susur keluar ke Bukit Merah dan sebaik bayar tol akan bertemu simpang tiga. Anda perlu memilih ke kanan dan tidak lebih dari 300 meter akan bertemu gerbang Bukit Merah Lake Town Resort di sebelah kanan jalan.



Kelihatan sebahagian permukaan tasik di awal pagi .

Kanak-kanak mencari dunianya sendiri.

















Selain, penginapan disediakan - terdapat taman tema air dalam kawasan resort ini serta kemudahan gerai makan dan sebagainya.

Coretan: Muhd Shatar

25 September 2012

Mengapa Tidak Mencontohi Hasihin Sanawi?


Salam pembaca budiman,

Imbuhan dan gaji lumayan diterima pemain kadang kala dihabiskan dengan pembaziran dengan membeli kereta, kemudian tambah eksesori akhirnya jual smula dengan harga murah dalam kerakusan membeli keluaran model  terbaru. Jarang sekali terdengar pemain bola nak hantar ibu bapa buat imrah atau haji dengan limpahan gaji sebagai pemain utama. Pemanah paralimpik negara, Hasihin  Sanawi antara contoh terbaik setelah mendengar ada imbuhan ratusan ribu menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bakal diterima yang akan dihadiahkan untuk menghantar ibu bapa ke Mekah bagi melaksanakan ibadat kepada Ilahi.

Tahniah! Semoga diikuti oleh pemain bola atau ahli sukan lain yang mempunyai sumber pendapatan yang lumayan yang mahu dihabiskan di pub, disko atau call girl. 

Coretan: Muhd Shatar

Nota Penting Menjelang Hari Peperiksaan SPM 2012: Ajaran Sesat

Salam sejahtera buat pelajar yang dirahmati Allah,

SPM 2012 Semakin hampir tiba, perjuangan seorang pelajar adalah kejayaan menguasai segala nota dan isi kandungan pelajaran tingkatan 4 dan 5.
Bagi mata pelajaran Pendidikan Islam sila kuasai tajuk berikut:

1. Kemuliaan al-Quran
i. Ciri-ciri keistimewaan al-Quran (Bahasa indah dan tinggi pengucapannya mengalahkan syair Arab, tidak mampu ditandingi oleh mana-mana makhluk dan lengkap segala aspek kehidupan)
ii. Sebab al-Quran diturunkan kepada manusia (Pedoman hidup, pegangan akidah, ilmu pengetahuan yang luas)
iii. Cara menghayati al-Quran dalam kehidupan (Istiqamah membaca, menghayati maksud, mengamalkan isi kandungan al-Quran)
iv. Nama lain bagi al-Quran (al-Furqan, al-Zikr, al-Kitab)
v. Adab terhadap al-quran (Berwuduk terlebih dahulu, menutup aurat semasa membaca, mengadap kiblat dan baca dengan tertil serta bertajwid


Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

22 September 2012

Soalan Ramalan SPM 2012: Bab Perkahwinan - Jenis Wali Nikah

Salam budiman para pelajar dihormati Allah SWT,

Para pelajar perlu menguasai secara mendalam hal istilah berikut:

1. Wali nikah; Orang yang berkuasa menikahkan mana-mana perempuan.Wali nikah terbahagi kepada dua bahagian:
 i. Wali Hakim: orang yang diberi kuasa oleh pemerintah untuk menikahkan perempuan
 ii. Wali Nasab. Wali Nasab pula terbahagi kepada dua:

A. Wali Mujbir  (khas kepada bapa dan datuk: berkuasa menikahkan perempuan tanpa persetujuan)
B. Wali bukan Mujbir (Nasab selain bapa dan datuk: Tiada kuasa penuh menikahkan melainkan persetujuan perempuan)

Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

21 September 2012

Tuntutan Menunaikan Ibadat Tambahan pada Sebahagian Malam



Salam pembaca dan pelajar budiman sekalian.

Sekadar perkongsian ilmu;

Pagi ini sedikit kelainan buat saya. Tidak seperti selalu. Sekadar berkongsi ilmu al-Quran. Sebaik selesai membaca surah al-Insaan, saya bertemu dengan ayat ke 26. Maksudnya menceritakan tentang keperluan buat kita semua untuk bangun pada sebahagian malam bagi bertasbih, selain menunaikan ibadat solat sunat bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T.
Saya teringat juga akan firman Allah SWT dalam surah al-Israr ayat 79 yang turut menceritakan keperluan bangun pada sebahagian malam bagi melaksanakan ibadat tambahan sebagai salah satu cara melengkapkan diri untuk menjadi golongan ashabul al-yamin (golongan yang terima buku amalan dengan tangan kanan) serta berada di tempat yang terpuji.  
Ya! Amat sukar untuk melawan mengantuk dan berhenti dari lena yang mengasyikkan. Sebaliknya keinginan mencari bekalan akhirat adalah matlamat sebenar kita dijadikan Allah. Memang sukar bagi kita yang agak terleka dari membicarakan urusan akhirat.
Di akhirnya saya ingin berkongsi sebuah doa yang saya temui dalam surah al-Israr yang baik sekali untuk kita membaca dan mengamalkan dalam setiap tindakan iaitu ayat 80 dari surah al-Israr yang bermaksud:
"Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong. 
Para pelajar sekalian.
Carilah ayat tersebut dalam al-Quran dan amalkan yakni hafaz ayatnya sebagai senjata kita dalam mencari kebenaran dalam kehidupan seharian.

Catatan: Muhd Shatar

Surah al-Israr ayat: 79
Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.  

Surah al-Insaan ayat: 26
Dan pada sebagian dari malam, maka sujudlah kepada-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada bagian yang panjang dimalam hari. 

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU