25 September 2012

Mengapa Tidak Mencontohi Hasihin Sanawi?


Salam pembaca budiman,

Imbuhan dan gaji lumayan diterima pemain kadang kala dihabiskan dengan pembaziran dengan membeli kereta, kemudian tambah eksesori akhirnya jual smula dengan harga murah dalam kerakusan membeli keluaran model  terbaru. Jarang sekali terdengar pemain bola nak hantar ibu bapa buat imrah atau haji dengan limpahan gaji sebagai pemain utama. Pemanah paralimpik negara, Hasihin  Sanawi antara contoh terbaik setelah mendengar ada imbuhan ratusan ribu menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bakal diterima yang akan dihadiahkan untuk menghantar ibu bapa ke Mekah bagi melaksanakan ibadat kepada Ilahi.

Tahniah! Semoga diikuti oleh pemain bola atau ahli sukan lain yang mempunyai sumber pendapatan yang lumayan yang mahu dihabiskan di pub, disko atau call girl. 

Coretan: Muhd Shatar

Nota Penting Menjelang Hari Peperiksaan SPM 2012: Ajaran Sesat

Salam sejahtera buat pelajar yang dirahmati Allah,

SPM 2012 Semakin hampir tiba, perjuangan seorang pelajar adalah kejayaan menguasai segala nota dan isi kandungan pelajaran tingkatan 4 dan 5.
Bagi mata pelajaran Pendidikan Islam sila kuasai tajuk berikut:

1. Kemuliaan al-Quran
i. Ciri-ciri keistimewaan al-Quran (Bahasa indah dan tinggi pengucapannya mengalahkan syair Arab, tidak mampu ditandingi oleh mana-mana makhluk dan lengkap segala aspek kehidupan)
ii. Sebab al-Quran diturunkan kepada manusia (Pedoman hidup, pegangan akidah, ilmu pengetahuan yang luas)
iii. Cara menghayati al-Quran dalam kehidupan (Istiqamah membaca, menghayati maksud, mengamalkan isi kandungan al-Quran)
iv. Nama lain bagi al-Quran (al-Furqan, al-Zikr, al-Kitab)
v. Adab terhadap al-quran (Berwuduk terlebih dahulu, menutup aurat semasa membaca, mengadap kiblat dan baca dengan tertil serta bertajwid


Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

22 September 2012

Soalan Ramalan SPM 2012: Bab Perkahwinan - Jenis Wali Nikah

Salam budiman para pelajar dihormati Allah SWT,

Para pelajar perlu menguasai secara mendalam hal istilah berikut:

1. Wali nikah; Orang yang berkuasa menikahkan mana-mana perempuan.Wali nikah terbahagi kepada dua bahagian:
 i. Wali Hakim: orang yang diberi kuasa oleh pemerintah untuk menikahkan perempuan
 ii. Wali Nasab. Wali Nasab pula terbahagi kepada dua:

A. Wali Mujbir  (khas kepada bapa dan datuk: berkuasa menikahkan perempuan tanpa persetujuan)
B. Wali bukan Mujbir (Nasab selain bapa dan datuk: Tiada kuasa penuh menikahkan melainkan persetujuan perempuan)

Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

21 September 2012

Tuntutan Menunaikan Ibadat Tambahan pada Sebahagian Malam



Salam pembaca dan pelajar budiman sekalian.

Sekadar perkongsian ilmu;

Pagi ini sedikit kelainan buat saya. Tidak seperti selalu. Sekadar berkongsi ilmu al-Quran. Sebaik selesai membaca surah al-Insaan, saya bertemu dengan ayat ke 26. Maksudnya menceritakan tentang keperluan buat kita semua untuk bangun pada sebahagian malam bagi bertasbih, selain menunaikan ibadat solat sunat bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T.
Saya teringat juga akan firman Allah SWT dalam surah al-Israr ayat 79 yang turut menceritakan keperluan bangun pada sebahagian malam bagi melaksanakan ibadat tambahan sebagai salah satu cara melengkapkan diri untuk menjadi golongan ashabul al-yamin (golongan yang terima buku amalan dengan tangan kanan) serta berada di tempat yang terpuji.  
Ya! Amat sukar untuk melawan mengantuk dan berhenti dari lena yang mengasyikkan. Sebaliknya keinginan mencari bekalan akhirat adalah matlamat sebenar kita dijadikan Allah. Memang sukar bagi kita yang agak terleka dari membicarakan urusan akhirat.
Di akhirnya saya ingin berkongsi sebuah doa yang saya temui dalam surah al-Israr yang baik sekali untuk kita membaca dan mengamalkan dalam setiap tindakan iaitu ayat 80 dari surah al-Israr yang bermaksud:
"Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong. 
Para pelajar sekalian.
Carilah ayat tersebut dalam al-Quran dan amalkan yakni hafaz ayatnya sebagai senjata kita dalam mencari kebenaran dalam kehidupan seharian.

Catatan: Muhd Shatar

Surah al-Israr ayat: 79
Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.  

Surah al-Insaan ayat: 26
Dan pada sebagian dari malam, maka sujudlah kepada-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada bagian yang panjang dimalam hari. 

12 September 2012

Koleksi Soalan Ramalan SPM Pendidikan Islam 2012: 40 Soalan Sejarah Kerajaan Bani Abbasiyah


1. Kerajaan Bani Abbasiyah diasaskan oleh ………………………………............................ .

2. Kerajaan Bani Abbasiyah terbina selama  ……………………………….. tahun.

3.  Cara pelantikan khalifah kerajaan Bani Abbasiyah adalah secara ................................ .

4. Terdapat seramai ........…. orang khalifah telah memerintah kerajaan Bani Abbasiyah.

5. Khalifah Harun al-Rasyid telah membina perpustaakaan terbesar di Baghdad iaitu  ……………………………….. .

6. Al-Dawawin merupakan jabatan-jabatan kerajaan di bawah pengawasan sekrateri yang digelar ................................ .

7. Khalifah ………………………………... telah menjadikan sudut di istananya sebagai tempat penyampaian ilmu oleh para sarjana dan ilmuan.

8. Kerajaan Bani Abbasiyah ditubuhkan selepas kejatuhan kerajaan ............................................. .

9. Antara tempat yang menjadi tempat penyebaran ilmu pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyah ialah masjid, …………………………, perpustakaan dan pusat pengajian.

10. ………………………………. antara pusat pengajian ilmu terkemuka pada masa itu yang dibina oleh Perdana Menteri Nizam al-Mulk.

11. Khalifah ini terkenal di sifat warak dan telah menjadikan Baghdad sebagai pusat penyebaran ilmu dan kebudayaan terkemuka.

12.  Masjid  ……………………………….. telah dijadikan tempat penyebaran ilmu oleh tokoh-tokoh Islam.

13. Fungsi  ……………………………… pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyah adalah menguruskan kewangan dan perbelanjaan negara.

14. Khalifah .................................................. telah memberikan biasiswa kepada pelajar cemerlang dan beliau terkenal dalam usaha menggiatkan aktiviti penterjemahan dalam pelbagai bidang ilmu.

15. Al-Wazir dalam pemerintahan Bani Abbasiyah bermaksud ............................................

16. Khalifah .....................................  telah menjadikan Baghdad sebagai ibu kota dan menyediakan pasar-pasar di tempat strategik.

17. Khalifah al-Mahdi telah menubuhkan  ...................................... untuk mengadili kes-kes rayuan.

18. Nama kerajaan Bani Abbasiyah diambil dari bapa saudara Rasulullah SAW iaitu ........................................... .

19. Gelaran yang diberikan oleh sejarahwan Islam terhadap kerajaan Bani Abbasiyah ialah ........................................................................................ .

20. Perpustakaan Darul Hikmah terletak di .................................................. .

21. Ilmu ............................... adalah ilmu berasaskan akal manusia seperti fizik, kimia dan astronomi.

22. Antara formula matematik yang ditemui pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyah ialah trigonometri, algebra, geomentri dan .......................

23. Imam Abu Daud adalah penyusun kitab ................................................ .

24. Tokoh ilmuan Islam iaitu Imam ........................................ yang lahir pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyah dalam bidang ilmu hadis telah menghasilkan kitab Sahih Bukhari.

25. Imam ........................................ telah mengasaskan mazhab Hanbali.

26. Tokoh ilmu tauhid yang lahir pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyah ialah Imam Ghazali dan ........................................................ .

27. ………………………………….......... merupakan tokoh yang telah mencipta peta dunia yang pertama di dunia dalam bentuk glob.

28. ...................................................... merupakan tokoh yang telah terkemuka dalam bidang kimia pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyah.

29. .................................................. merupakan tokoh pertama yang telah berjaya menyukat kelajuan bunyi dan cahaya serta mencipta cermin mata.

30. Tokoh dalam ilmu astronomi pada zaman Bani Abbasiyah ialah .................... .

31. Pusat Penterjemahan Negara pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyah ialah ...............................................

32. Antara faktor perkembangan sains dan teknologi pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyah ialah kerana ....................................... ............. dan aktiviti penterjemahan yang giat djalankan serta kerana berlaku proses globalisasi ilmu.


33. Yuhana bin Masawaih dan Hunain bin Ishak merupakan ................................. di Baitul Hikmah.

34. Khalifah al-Makmun telah membina ................................................. untuk membantu penyelidikan dalam bidang astronomi.

35. Khalifah al-Muktasim telah membina .................................................... di pelabuhan Sungai Dajlah di bawah pengawasan Gabenor Nubia.

36. .................................. di Itali telah banyak menyimpan khazanah ilmu terutama astronomi dan perubatan pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyah.

37. Pengasas ajaran sesat Tasnim ialah .................................................. .

38. Mirza Ghulam Ahmad merupakan pengasas ajaran sesat ............................... .

39. Acre, di Palestain merupakan kiblat bagi kumpulan ajaran sesat .................... .

40. Solat hanya dengan niat ialah ciri-ciri kesesatan dalam kumpulan ...................

Jawapan: Sesiapa yang ingin kepada jawapan sila hantar emel bertajuk: 

Skema Jawapan 40 Soalan Sejarah Kerajaan Bani Abbasiyah 2012  ke: muhd@live.com.my


Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar)

.

11 September 2012

Tip Jawapan Bagi Soalan Kertas 1 SPM Pendidikan Islam 2012

Salam pelajar budiman,

Bagi menjawab soalan kertas 1 Pendidikan Islam, para pelajar sekalian wajib menguasai kefahaman berikut.

Antaranya:

1. Bahagian Tokoh Islam Tingkatan 4 (Sila isi ruangan diberikan)

i. Imam Abu Hanifah
Kitabnya: Fikah al-Akbari dan Fekah al-Fara'id
Gelaran: _______________________________

ii. Imam Shafie
Kitabnya: ________________________________
Gelaran: Bapa Usul Fiqh

iii. Imam Malik
Kitabnya: al-Muwatta
Gelaran: _______________________________

iv. Imam Ahmad bin Hanbal
Kitabnya: ________________________________
Gelaran: al-Hakim (gelaran kerana menghafal 700 000 hadis)

v. Imam al-Bukhari
Kitabnya: Sahih Bukhari (mengandungi 600 000 ribu hadis)
Gelaran:

vi. Imam Ghazali
Kitabnya: __________________________________________
Gelaran: Hujatul Islam (kepetahannya mempertahankan Islam)

1. Bahagian Tokoh Islam Tingkatan 5 (Sila isi ruangan diberikan)

i. Ibnu Sina
Kitabnya: Qanum Fii al-Tibb
Tokoh perubatan

ii. Ibnu Khaldun
Kitabnya: al-Mukadimah
Tokoh Sejarah

iii. Sayyid Jamaluddin al-Afghani
Orang pertama memperkenalkan idea Islah

iv. Syeikh Muhammad Abdoh
- Anak murid Sayyid Jamaluddin al-Afghani
- melakukan pembaharuan dalam pendidikan di Universiti al-Azhar

v. Syeikh Tahir Jalaluddin
- Menerbitkan majalah pertama di Tanah Melayu iaitu majalah al-Imam (1906)
- mendapat gelaran syeikh sewaktu jadi mufti di Perak
-digelar al-falaki kerana pakar dalam ilmu falak dan berjuang memperkembangkan ilmu falak di Tanah Melayu.

vi. Hamka
- menghasilkan kitab tafsir al-Quran: Tafsir al-Azhar


Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

08 September 2012

Soalan Ramalan Pendidikan Islam SPM 2012: Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan HAMKA?

Salam pelajar budiman.

Bagi tajuk tokoh, utamakan kefahaman yang lebih mendalam tentang dua orang tokoh pilihan ini.

1. Sayyid Jamaluddin al-Afgani - para pelajar mesti mengetahui fakta penting ini.
- lahir di Abad Asad, Kabul, Afganistan
- digelar al-sayyid kerana salasilah keturunannya bersambung dengan Saidina Ali bin Abi Thalib 
- tokoh pertama yang memperkenalkan idea Islah
- guru kepada skeikh Muhammad Abduh
-menguasai beberapa bahasa utama seperti Inggeris, Perancis, Urdu, Arab, Parsi dan Rusia.
- pengasas beberapa buah akhbar Urwatul Wusqa di Perancis, akhbar Misr, akhbar al-Tijarah di Mesir dan al-Khafiqin di Landon.


2. HAMKA
- singkatan dari nama penuh Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim bin Syeikh Muhammad Amirullah
- Lahir 1908 di Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia
- banyak karya terhasil dalam pelbagai bidang:
i. Agama: Tafsir al-Azhar/Pedoman Mubaligh Islam/Tasawwuf Moden/Sejarah Umat Islam/Arkan al-Islam/Revolusi Agama

ii. Falsafah: Falsafah Hidup/Ideologi Islam/Ekspensi Idealogi/Pandangan Hidup Muslim/Lembaga Hidup

iii. Sastera: Menunggu Biduk Berbunyi/Keadilan Ilahi/Di Bawah Lindungan Kaabah/Laila Majnun/Tenggelam Kapal Van Der Wijck

Anugerah diterima HAMKA:

i. Anugerah Doktor Kehormat: Universiti al-Azhar
ii. Anugerah Doktor Kehormat: UKM, Malaysia
iii. Anugerah Professor dari Universiti Moestapo Jakarta.


Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

07 September 2012

10 Hari Lagi Ada Peluang Berpuasa Sunat 6 Hari Bulan Syawal

Salam pembaca budiman,

Hari ini 20 Syawal - bermakna ada lebih kurang 10 hari untuk menunaikan puasa sunat 6 hari bulan syawal. Fadilat puasa 6 hari bulan syawal sangat hebat hampir menyamai setahun berpuasa! Hadis daripada Rasulallah s.a.w. yang menjelaskan kelebihan puasa enam Syawal yang bermaksudnya:
 “Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” (Riwayat Imam Muslim)

Sekadar berkongsi pengalaman, keberatan menunaikan puasa ramadan dilihat kurang berbanding puasa sunat 6 hari bulan syawal. Untuk bangun bersahur serta memulakan hari pertama berpuasa di bulan syawal begitu sukar hendak direalisasikan kerana keinginan makan kian bertambah dan ia makin bertambah perit pabila kawan-kawan mengajak minum atau dijemput menghadiri jamuan.

Cabaran berpuasa di bulan syawal memang hebat! Kepada yang sudah selesaikan puasa sunat ini - Tahniah atas kekuatan kecintaan terhadap agama dan suruhannya biarpun sunat tetap kalian kerjakan.

Insak Allah, ada lagi hari untuk sama-sama kita kerjakan bagi tujuan pahala yang sangat besar...

Coretan: Muhd Shatar

06 September 2012

PERSATUAN SUKAN PERLU DIDIK NILAI AGAMA DAN SEMAI ILMU KEPADA PEMAIN


(Tersiar dalam Berita Harian: 04.09.2012)
Oleh: MUHD SHATAR (muhd@live.com.my)

Sejauh manakah peranan persatuan sukan terhadap pemain-pemainnya dalam pembinaan sahsiah, pengurusan kewangan atau lebih penting kehidupan berteraskan agama. Tidak dapat dinafikan, kebanyakan pemain bola mula diserapkan ke akademi bola sepak negeri ketika usia remaja hinggalah meningkat usia. Memasuki dunia sukan terutamanya bola sepak memang teruja kerana diminati dan menjadi tumpuan, selain kehadiran facebook, twitter dan pelbagai kaedah terkini dalam menemukan peminat dengan pemain dengan lebih rapat.
            Gaji agak lumayan ketika masih di peringkat remaja atau pada awal usia muda sekiranya tiada kesedaran menguruskan wang secara berhemah maka pendapatan diraih sudah pasti dibelanja boros ataupun menjurus kepada pembaziran. Pendapatan pemain bola umumnya terhad ketika usia remaja hinggalah mencapai usia sekitar tiga puluhan. Pendapatan juga akan terhenti apabila kudrat tidak diperlukan. Pendapat lumayan diraih sewaktu bertenaga dan diperlukan pasukan perlu dikumpulkan dalam bentuk aset kekal seperti hartanah sebagai persediaan apabila pemain beransur hilang tawaran dari mana-mana pasukan. Justeru persatuan sukan ada kewajipan memastikan para pemain berupaya mengawal pendapatan dan ilmu pengurusan kewangan perlu diberikan secara berkala. Selain berupaya mebimbing pemain di bawah kontrak dan tanggungjawab dalam membuat pelaburan masa hadapan.
            Isu pemain terlibat dengan gejala negatif seperti contoh terbaru dakwaan jurulatih Peter Butler terhadap skandal pemainnya membawa masuk perempuan ke hotel perlu dilihat sebagai satu perkara besar bersama adanya langkah pencegahan. Pemain bola adalah idola remaja. Mendidik pemain melalui pembentukan akhlak serta kefahaman agama yang mendalam akan membantu menghindari berlaku kerosakan peribadi dan menjadi kritikan media yang akhirnya menyumbang kepada punca kemerosotan prestasi. Pemain bola merupakan figure sering diperhatikan masyarakat umum, maka perlunya pengisian seperti tazkirah agama, kuliah ilmu dan sebagainya turut diterapkan kepada pemain. Paling penting, pemain remaja yang dipilih ke peringkat akademi bola sepak turut disediakan modul pembangunan insan dan kekuatan kehidupan beragama.      
Peranan persatuan dalam membangunkan tahap pengurusan kewangan dan pembinaan akar keagamaan adalah mustahak dan perlu segera dilaksanakan. Pemain kuat agamanya akan lebih berintegreti terhadap kecemerlangan pasukan. Jadi, salah satu cara mencapai kemenangan dalam perlawanan adalah dari pembinaan kekuatan rohani dan jasmani pemain. Di samping, kesedaran mereka terhadap amanah dari pucuk pengurusan pasukan.


  

02 September 2012

Tanah Dollah Mat Naik Mendadak

http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20120902/sa_01/Tanah-Dollah-Mat-naik-mendadak

29 August 2012

Soalan Ramalan SPM 2012: Ibadat Haji Dan Umrah

Salam para pembaca,


Soalan 1: Antara empat jenis tawaf ini,  pilih yang manakah wajib dilakukan sekiranya tidak dilakukan haji akan terbatal dan tidak sah?

i. Ifadah
ii. Qudum
iii. Widak
iv. Sunat

Jawapan: Ifadah

Bagi menguasai tajuk ini para pelajar wajib perlu mengingati kesemua rukun haji (6 perkara) dan perkara wajib haji (6 perkara) dengan jelas.

Nota Penting: 
1.Mana-mana jemaah tertinggal dari melakukan rukun haji - hukum haji tidak sah pada tahun itu.
2. Mana-mana jemaah tertinggal dari melakukan perkara wajib haji - hukum haji tetap sah dengan membayar dam.


Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

25 August 2012

3 Peluang Yang Tak Diambil

Petikan hadis Nabi saw:
"3 jenis manusia yang malang: 1. Seorang yang disebut nama Nabi Muhammad saw tetapi enggan berselawat. 2. Seorang yang masih dikurniakan kesempatan untuk berbakti kepada ibu bapanya yang masih hidup tetapi tidak berbuat demikian. 3. Seorang yang diberi kesempatan berada dalam bulan Ramadhan tetapi apabila berlalunya Ramadhan, dosanya tidak diampunkan oleh Allah swt...
 

16 August 2012

Salam Aidilfitri buat pembaca budiman,

Pengendali Blog e-Pendidikan Islam  pulang ke tanah kelahiran esok pagi sebelum sahur kerana ingin menikmati pemanduan waktu pagi. Mata lebih segar dan kenderaan dijangka tidak banyak melainkan lori-lori kayu balak akan melambatkan pergerakan kereta.

Mungkin jam 5.00 pagi di tengah belantara Tasik Banding ke Jeli, mana-mana pemandu akan berpeluang melihat gajah yang ada di tepi jalan. Balik kampung adalah pengalaman paling menyeronokkan dan penuh detik indah untuk sebuah pemanduan lebih berhemah.

Sempena bulan ramadan dan menjelang 1 Syawal, saya memohon ampun dan maaf kepada semua yang mengenali, pernah bersua dan tidak pernah bersua, maka saya pohon dimaafkan segala kesilapan saya ini.

Sebagai manusia, saya tidak terlepas dari melakukan kekhilafan dan dosa. Paling penting, Allah Taala membuka peluang untuk hamba-Nya saling memaafkan.

Salam ramadan dan aidilfitri...









13 August 2012

Fasa Pembebasan Dari Api Neraka

Salam pembaca budiman,


Ramadan makin menghampiri tempat labuhnya. Jika dua fasa telah kita lalui, kerahmatan dan keampunan dan sepuluh terakhir ini kita berpeluang membebaskan diri dari api neraka. Sejauh mana kita mengambil peluang berdoa memohon keampunan dari Allah sejak dilahirkan hingga saat ini. Hanya suara hati kita yang menentukan.

Hati yang berfikir, akan tunduk bersujud untuk memohon ampun dalam bulan mulia ini kerana tahun depan barang kali nyawa kita dicabut malaikat. Betapa payahnya untuk melihat masyarakat menilai ramadan sebagai bulan penyucian dosa kerana hari ini memperlihatkan kedatangan ramadan lebih kepada kefahaman bulan menikmati juadah setelah seharian berpuasa dan menunggu saat hari raya.Paling malang, ada remaja sudah mengira dan membuat angan-angan untuk menziarahi rumah pasangan sebelum diangkut dengan motor ke mana-mana sahaja. Paling malang, ibu bapa merelakan anak gadisnya diangkut atas lesen hari raya.

bersambung...

03 August 2012

Tepat Setahun Arwah Ahmad Zoon Meninggalkan Kita

Al-Fatihah,

Sidang pembaca, orang yang baik sudah pasti akan dikenang, kerana ingatan sukar dipadamkan. Lantas setiap hari kita cuba menjadi manusia yang lebih baik agar selepas kematian dikenang sebagai orang yang baik. Hampir setahun Cikgu Ahmad Zoon bin Ismail meninggalkan dunia ini dan hari tepat 3 Ogos tarikh kematiannya. Mengapa saya begitu terdorong menulis tentang beliau, tidak lain kerana kebaikan yang diingati menjadikan saya begitu sukar melupakan namanya dalam catatan perjalanan hidup saya.
            Terus-terang hampir 6 tahun bekerja di bawah satu bumbung, kadang kala ditugaskan bersama dalam penyertaan sukan bola sepak ASAT telah meninggalkan impak kenangan yang jarang saya perolehi.Tiada satu katanya menyuntik kemarahan dan rasa tidak puas hati lantas saya telah menjadikan beliau adalah salah satu cikgu yang mesti dicontohi. Selain banyak aspek positif sikapnya telah menyumbang kecemerlangan sekolah. 
Kini guru yang disegani ini tepat setahun berada di alam barzakh namun, bayang susuk tubuhnya seperti ada di persekitaran sekolah. Semoga arwah berada dalam kalangan roh yang beriman dan bertakwa.

31 July 2012

Apa khabar saudara kita di Mynmar. Khabarnya sungguh diperlaku tragis

Apakah yang terjadi sekarang di sana?

Paling mendera mataku pabila gambar ini akhirnya sampai ke depan kaca mata kita. Aku cuba bayangkan situasi di Mynmar seperti gambar remaja lelaki seperti ditetak di belakang bahu, membara marahku, cuma setakat menaipkan keluhan.
Aku cuba bayangkan situasi itu berlaku di tempatku, melibatkan kaum kerabatku dan sebagainya. Alangkah pilu dan sadis untuk dipersembahkan sebagai realiti. Ketika kita diralitkan dengan juadah berbuka yang berlebihan, keseronokan memilih baju raya ataupun sibuk melihat FAM dengan KAFA bertengkar mengenai insiden Ghaddar vs Bunyamin, Amri Yahya dan Nasriq Baharum, mereka di sana diperlakukan kerana golongan Rohingya adalah tertindas bertiketkan orang pelarian.
Di bulan ramadan, hatiku sebagai umat Islam saudara memunajatkan doa agar Allah selamatkan mereka dari terus dizalimi dan Allah hancurkan golongan zalim dengan bala yang lebih dahsyat. Doa senjata kita, untuk umat Islam Rohingya yang dizalimi fizikal dan mental. Ya Allah, hanya itulah terdaya kulakukan.

Coretan: Muhd Shatar

30 July 2012

Lelaki Terakhir Meninggalkan UM dan Paling Awal Mengadap Ilahi

Nostalgia Ahmad Fauzan bin Madrih.

11 Ogos 2005, tarikh terakhir bertemu dengan guru muda ini. Sehingga pada 27 Julai 2012 sebaik selesai membaca surah Yasin di beranda surau (yang tiba-tiba terniat memilih surah Yasin sebagai bacaan menunggu berbuka)  saudara Surjana, mengirimkan sms  berbunyi: Ahmad Fauzan bin Madrih telah kembali ke rahmatullah. Terlibat dengan kemalangan. 6.18 petang.

Sejuk hati terasa sayu sekali dengan berita kematian arwah kerana saya dengan Ahmad Fauzan antara pelajar yang paling lewat menghabiskan pengajian di UM berbanding rakan-rakan yang lain kemasukan 2000/2001. Pengalaman tahun terakhir cukup sepi dan terasing kerana ketiadaan rakan sekuliah yang lain dan ditengelami dengan ragam junior. Kami ditakdirkan memanjangkan tahun pengajian alasan peribadi masing-masing dan saya banyak fokus kepada dunia penulisan pada masa itu.

Ahmad Fauzan kelihatan begitu cekal untuk lulus dalam subjek terakhir dalam pengajian dan kami sama-sama berkerah tenaga bagi menghadapi madah Usul Fiqh III di bawah pengajaran Dato Paduka Mahmod Zuhdi. Akhirnya pada 11 Ogos 2005 kami berjaya mengambil ijazah di konvokensyen UM.  Malam 11 Ogos tersebut saya diminta Ahmad Fauzan menghantar beliau dan ayahnya ke pusat bandar Kuala Lumpur. Saya baru pandai bawa kereta kerana hanya lulus lesen seminggu sebelum ke KL. Sebelum itu saya telah diberi penempatan mengajar di negeri Pulau Pinang.

Bila saya kenangkan arwah dari awal terima berita kematian - baru saya teringat pada malam saya hantar Ahmad Fauzan dan ayahnya ke pusat bandar Kuala Lumpur dengan pantas dia telah menolak stereng kereta saya ke tengah sedikit kerana saya telah termakan jalan ke tepi hampir ke bahu jalan yang dibenting konkrit batu. Maklumlah, saya baru seminggu dapat lesen terus bawa kereta  ke tengah kosmopolitan KL.

Kalau tidak, mungkin saya akan dapat pengalaman melanggar bahu jalan sebaik dapat lesen P. Jadi itulah saat terakhir saya bersama arwah Ahmad Fauzan.  Sebelum berpisah, ayahnya mengundang saya ke Sabah bila ada kelapangan.

Saya tinggalkan berpuluh kenangan bersama arwah dengan segulung ingatan yang sukar dikumal. Saya tahu orang yang amat berduka dengan kehilangannya iaitu adik perempuannya yang sama-sama belajar di kampus UM. Itulah mungkin kekuatan Ahmad Fauzan semasa menghabiskan subjek yang tertinggal kerana pelajar yang tertinggal akan berhadapan dengan kesukaran menghabiskan subjek akhirnya menyebabkan kegagalan memperolehi ijazah. Saya juga pada masa itu hanya diperkuatkan dengan semangat untuk membela nasib orang tua di kampung serta memikirkan soal bayaran balik PTPTN sekiranya gagal menghabiskan subjek terakhir.

Sekarang 7 tahun hampir berlalu, nostalgia bersama arwah adalah kenangan yang sukar dipadamkan. Ternyata arwah seorang yang menceriakan dan tidak pernah keluar sepatah perkataan yang menyakitkan dari mulutnya. Banyak rakan ditemui tetapi jarang yang memiliki perwatakan disenangi yang dingati. Paling terkilan, saya tidak cuba menghubunginya semasa melawati Sabah beberapa tahun lepas dalam lawatan bersama ahli koperasi sekolah. Semoa Allah memberkati roh arwah dan orang yang baik sepertinya sudah pasti beroleh kemenangan.

Al-fatihah untuk arwah Ahmad Fauzan bin Madrih...

Sahabatmu.
Muhd Shatar

Berita kemalangan arwah Ahmad Fauzan bin Madrih disiarkan dalam akhbar Borneo Post
TUARAN: Seorang guru agama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka di sini terbunuh setelah Proton Myvi yang dipandunya bertembung dengan Toyota Hilux di Kilometer 5.9 Jalan Sulaman, petang kelmarin.
Dikatakan mangsa dikenali sebagai Ahmad Fauzan Madrih, 33, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Menurut saksi kejadian, mangsa dipercayai tersalah masuk ke laluan bertentangan sebelum Toyota Hilux yang dinaiki oleh tiga lelaki tempatan merempuh kenderaan mangsa.

  

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU