03 August 2012

Tepat Setahun Arwah Ahmad Zoon Meninggalkan Kita

Al-Fatihah,

Sidang pembaca, orang yang baik sudah pasti akan dikenang, kerana ingatan sukar dipadamkan. Lantas setiap hari kita cuba menjadi manusia yang lebih baik agar selepas kematian dikenang sebagai orang yang baik. Hampir setahun Cikgu Ahmad Zoon bin Ismail meninggalkan dunia ini dan hari tepat 3 Ogos tarikh kematiannya. Mengapa saya begitu terdorong menulis tentang beliau, tidak lain kerana kebaikan yang diingati menjadikan saya begitu sukar melupakan namanya dalam catatan perjalanan hidup saya.
            Terus-terang hampir 6 tahun bekerja di bawah satu bumbung, kadang kala ditugaskan bersama dalam penyertaan sukan bola sepak ASAT telah meninggalkan impak kenangan yang jarang saya perolehi.Tiada satu katanya menyuntik kemarahan dan rasa tidak puas hati lantas saya telah menjadikan beliau adalah salah satu cikgu yang mesti dicontohi. Selain banyak aspek positif sikapnya telah menyumbang kecemerlangan sekolah. 
Kini guru yang disegani ini tepat setahun berada di alam barzakh namun, bayang susuk tubuhnya seperti ada di persekitaran sekolah. Semoga arwah berada dalam kalangan roh yang beriman dan bertakwa.

31 July 2012

Apa khabar saudara kita di Mynmar. Khabarnya sungguh diperlaku tragis

Apakah yang terjadi sekarang di sana?

Paling mendera mataku pabila gambar ini akhirnya sampai ke depan kaca mata kita. Aku cuba bayangkan situasi di Mynmar seperti gambar remaja lelaki seperti ditetak di belakang bahu, membara marahku, cuma setakat menaipkan keluhan.
Aku cuba bayangkan situasi itu berlaku di tempatku, melibatkan kaum kerabatku dan sebagainya. Alangkah pilu dan sadis untuk dipersembahkan sebagai realiti. Ketika kita diralitkan dengan juadah berbuka yang berlebihan, keseronokan memilih baju raya ataupun sibuk melihat FAM dengan KAFA bertengkar mengenai insiden Ghaddar vs Bunyamin, Amri Yahya dan Nasriq Baharum, mereka di sana diperlakukan kerana golongan Rohingya adalah tertindas bertiketkan orang pelarian.
Di bulan ramadan, hatiku sebagai umat Islam saudara memunajatkan doa agar Allah selamatkan mereka dari terus dizalimi dan Allah hancurkan golongan zalim dengan bala yang lebih dahsyat. Doa senjata kita, untuk umat Islam Rohingya yang dizalimi fizikal dan mental. Ya Allah, hanya itulah terdaya kulakukan.

Coretan: Muhd Shatar

30 July 2012

Lelaki Terakhir Meninggalkan UM dan Paling Awal Mengadap Ilahi

Nostalgia Ahmad Fauzan bin Madrih.

11 Ogos 2005, tarikh terakhir bertemu dengan guru muda ini. Sehingga pada 27 Julai 2012 sebaik selesai membaca surah Yasin di beranda surau (yang tiba-tiba terniat memilih surah Yasin sebagai bacaan menunggu berbuka)  saudara Surjana, mengirimkan sms  berbunyi: Ahmad Fauzan bin Madrih telah kembali ke rahmatullah. Terlibat dengan kemalangan. 6.18 petang.

Sejuk hati terasa sayu sekali dengan berita kematian arwah kerana saya dengan Ahmad Fauzan antara pelajar yang paling lewat menghabiskan pengajian di UM berbanding rakan-rakan yang lain kemasukan 2000/2001. Pengalaman tahun terakhir cukup sepi dan terasing kerana ketiadaan rakan sekuliah yang lain dan ditengelami dengan ragam junior. Kami ditakdirkan memanjangkan tahun pengajian alasan peribadi masing-masing dan saya banyak fokus kepada dunia penulisan pada masa itu.

Ahmad Fauzan kelihatan begitu cekal untuk lulus dalam subjek terakhir dalam pengajian dan kami sama-sama berkerah tenaga bagi menghadapi madah Usul Fiqh III di bawah pengajaran Dato Paduka Mahmod Zuhdi. Akhirnya pada 11 Ogos 2005 kami berjaya mengambil ijazah di konvokensyen UM.  Malam 11 Ogos tersebut saya diminta Ahmad Fauzan menghantar beliau dan ayahnya ke pusat bandar Kuala Lumpur. Saya baru pandai bawa kereta kerana hanya lulus lesen seminggu sebelum ke KL. Sebelum itu saya telah diberi penempatan mengajar di negeri Pulau Pinang.

Bila saya kenangkan arwah dari awal terima berita kematian - baru saya teringat pada malam saya hantar Ahmad Fauzan dan ayahnya ke pusat bandar Kuala Lumpur dengan pantas dia telah menolak stereng kereta saya ke tengah sedikit kerana saya telah termakan jalan ke tepi hampir ke bahu jalan yang dibenting konkrit batu. Maklumlah, saya baru seminggu dapat lesen terus bawa kereta  ke tengah kosmopolitan KL.

Kalau tidak, mungkin saya akan dapat pengalaman melanggar bahu jalan sebaik dapat lesen P. Jadi itulah saat terakhir saya bersama arwah Ahmad Fauzan.  Sebelum berpisah, ayahnya mengundang saya ke Sabah bila ada kelapangan.

Saya tinggalkan berpuluh kenangan bersama arwah dengan segulung ingatan yang sukar dikumal. Saya tahu orang yang amat berduka dengan kehilangannya iaitu adik perempuannya yang sama-sama belajar di kampus UM. Itulah mungkin kekuatan Ahmad Fauzan semasa menghabiskan subjek yang tertinggal kerana pelajar yang tertinggal akan berhadapan dengan kesukaran menghabiskan subjek akhirnya menyebabkan kegagalan memperolehi ijazah. Saya juga pada masa itu hanya diperkuatkan dengan semangat untuk membela nasib orang tua di kampung serta memikirkan soal bayaran balik PTPTN sekiranya gagal menghabiskan subjek terakhir.

Sekarang 7 tahun hampir berlalu, nostalgia bersama arwah adalah kenangan yang sukar dipadamkan. Ternyata arwah seorang yang menceriakan dan tidak pernah keluar sepatah perkataan yang menyakitkan dari mulutnya. Banyak rakan ditemui tetapi jarang yang memiliki perwatakan disenangi yang dingati. Paling terkilan, saya tidak cuba menghubunginya semasa melawati Sabah beberapa tahun lepas dalam lawatan bersama ahli koperasi sekolah. Semoa Allah memberkati roh arwah dan orang yang baik sepertinya sudah pasti beroleh kemenangan.

Al-fatihah untuk arwah Ahmad Fauzan bin Madrih...

Sahabatmu.
Muhd Shatar

Berita kemalangan arwah Ahmad Fauzan bin Madrih disiarkan dalam akhbar Borneo Post
TUARAN: Seorang guru agama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka di sini terbunuh setelah Proton Myvi yang dipandunya bertembung dengan Toyota Hilux di Kilometer 5.9 Jalan Sulaman, petang kelmarin.
Dikatakan mangsa dikenali sebagai Ahmad Fauzan Madrih, 33, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Menurut saksi kejadian, mangsa dipercayai tersalah masuk ke laluan bertentangan sebelum Toyota Hilux yang dinaiki oleh tiga lelaki tempatan merempuh kenderaan mangsa.

  

10 July 2012

10 Hari Lagi Umat Islam Menunggu Berpuasa

Salam pembaca budiman,


Pada 19hb Julai 2012, umat Islam akan menyambut kedatangan bulan penuh keberkatan. Pada hari tersebut merupakan tarikh melihat anak bulan di seluruh dunia bagi umat Islam. Bermakna hampir 10 hari lagi tinggal untuk menikmati makan pada waktu siang. Namun, kekuatan berpuasa di bulan ramadan akan menjadikan kita boleh menjalankan akitiviti harian tanpa keletihan tanpa makan di waktu pagi atau tengah hari. Justeru bersahur adalah salah faktor yang menjadikan kita tidak terlalu kelaparan di sebelah siang. 

08 July 2012

Jalan Ke Syurga: Catatan Petang Ahad


Salam para pelajar, saudaraku sekalian.

Alhamdulillah, perjalanan  kita sebagai manusia diberi Allah usia yang boleh lagi melihat panorama alam saujana indah.

Kekuatan fizikal dan tenaga masih dipinjamkan Allah SWT membolehkan kita bergerak, melintasi satu persatu anak tangga kehidupan.

Paling penting, Allah tidak memberikan kita penyakit yang menjadikan kita kaku, tidak mampu bergerak atau hanya duduk di kerusi roda. Mungkin ketika itu teringatkan nikmat tenaga dan kesihatan dipinjamkan Allah SWT.
Ya! Hari ini kita sihat, kuat dan bebas menikmati panorama Allah yang luas dan cantik. Lihat sahaja gambar ini, bukankah tenang hati melihatnya, barang kali syurga Allah 100 kali ganda indah dan takjub. Lantas kesihatan dan kekuatan fizikal sekarang perlu digunakan tidak lain hanyalah beribadat untuk-Nya.


Coretan ilham : Muhd Shatar
Gambar: Sumber internet

06 July 2012

Layakkah Buatku Memohon Syurga Allah!


Salam buat pembaca sekalian,

Semalam hari nisfu sya'aban dan pun telah berlalu, ada yang berpuasa dan pada sebelah malamnya pula telah bangkit berdoa agar seluruh dosa yang pernah dilakukan terampun. Hari ini dan jaraknya  dengan kedatangan ramadan sebuah bulan penuh limpah keberkatan semakin hampir. Kerinduan untuk menikmati rahmah dan peluang pengampunan kian terbuka luas. Bulan promosi untuk meningkatkan pahala dari Allah agar akuan simpanan kekal ke akhirat kian bertambah. Sekurang-kurangnya dengan jumlah tersebut kita boleh memohon satu tiket ke syurga Allah SWT.

Seandainya malam ini malaikat Izrail datang menjemput, layakkan kita ke syurganya paling tidak terselamat dari azab api neraka yang dijanjikan...

Coretan Ilham: Muhd Shatar

01 July 2012

Terimakah Akan Tuhan, Solat Yang Kupersembahkan?

Salam para pelajar yang dirahmati Allah SWT,


Dalam kehidupan seharian, solat adalah perkara utama yang mesti ditegakkan. Berdepan dengan hasutan liar dari segerombolan syaitan yang menjanjikan manusia supaya menangguhkan solat dengan pelbagai cara dan teknik sebagaimana biasa digunakan dalam iklan terpapar di papan iklan atau kain rentang tentang promosi harga runtuh atau ada diskaun besar-besaran yang kononnya menguntungkan pembeli.
Para pelajar sekalian, tanggungjawab terhadap solat amat besar dan menjadi ringan untuk diutamakan apabila memperingati balasan azab kepada golongan yang ingkar bersolat sedangkan nikmat pemberian Allah tidak terkira. Amat penting ialah jangan gemar menangguhkan ibadat solat kerana diyakini membawa kepada pengabaian.

Kelebihan solat kepada perwatakan seseorang jelas berbeza dengan orang yang tidak solat baik dari segi raut wajah, tutur kata dan pilihan tindakan. Jadi, janganlah kita termasuk dalam golongan yang tidak ingkar menunaikan solat kepada Allah SWT kerana balasan azabnya tak tertanggung di akhirat.

Perkara yang perlu difikirkan, adakah solat yang ditunaikan akan diterima Allah kerana sempurna dan khusuknya pabila berhadapan dengan Tuhan dalam lima kali pertemuan wajib dan pertemuan sunat yang lain.

Coretan: Muhd Shatar

25 June 2012

Tanggungjawab Ibu Bapa Terhadap Anak yang Ditunggu Hari Lahirnya

Salam buat pembaca budiman,


Sebagai ibu bapa, menantikan anak yang dikandung sangat dinanti dan dirindui. Apatah lagi anak pertama dari rumahtangga yang terbina. Kelahiran anak kelak akan mengikat keutuhan hidup berpasangan.

Justeru, sebagai ibu bapa tugas mendoakan agar memperolehi anak yang soleh perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.

Sebagai perkongsian ilmu baca dan amalkan doa yang dipetik dari ayat suci al-Quran ini yang amat mendalam maknanya terhadap kelahiran keturunan yang mulia:

1. Surah Ibrahim : ayat 40
(Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.)

2. Surah Ali Imran : ayat 38
(Di sanalah Zakaria mendoakan kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya engkau maha mendengar doa.)

3. Surah al-Furqan : ayat 74
(Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.)

Selain, memperbanyakkan bacaan al-Quran ketika masa terluang atau kerap berzikir kepada Allah SWT. Antara surah yang sering diamalkan bagi mengharapkan zuriat yang mulia, elok, murah rezekinya dan baik rupa paras ialah surah al-Mulk, Mariam, Yusuf, Muhammad, al-Rahman dan lain lagi.

Coretan perkongsian ilmu: Muhd Shatar

22 June 2012

Di sebalik Amalan 5s Di Semua Sekolah Teknik dan Vokasional Seluruh Negara

Salam pembaca budiman, ada hikmah di sebalik arahan agar semua sekolah beraliran teknik dan vokasional di bawah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional KPM, agar mengamalkan amalan 5 S.
Lebih 3 bulan para guru dan pelajar bertungkus lumus dalam usaha mendapatkan pengiktirafan 5S dari MPC, sebuah badan yang berautoriti memberikan sijil pengiktirafan 5S dalam pelaksanaan organisasi. Sebagai warden, tugas menerapkan amalan 5 S lebih mencabar kerana perlu melengkapkan semua bilik yang ada di bawah kawalannya.
Beginilah pemandangan salah sebuah bilik sakit di asrama SMT Seberang Perai hasil dari penerapan amalan 5 S yang menitikberatkan kekemasan, pengaturan dan sistem penggunaan yang berhemah sesuai dengan Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal. Sebagai penganut Islam kita telah dituntut dalam agama agar mengutamakan kebersihan dan kekemasan. Melaksanakan amalan 5 S adalah perlu biarpun di awalnya cukup menyeksa dan menimbulkan kesangsian.


















Semua kakitangan dan pelajar SMT Seberang Perai memberikan sokongan dan kerjasama dalam mengamalkan 5S di peringkat sekolah bagi mendapatkan manfaat dari kemantapan amalan yang terkandung di dalamnya.

20 June 2012

Jangan Tangguhkan Solat Bila Sampai Waktunya Sebelum Berakhir Tempohnya

Salam pembaca budiman,

Dalam bab menunaikan solat, umat Islam di Malaysia lebih terhad dengan pemikiran menunaikan solat di masjid atau surau berdekatan apa bila masuk waktu solat.

Dalam perjalanan di sekitar negara kita, jarang sekali terdapat pemandangan barisan manusia solat di tepi jalan. Mengikut dan ulasan dari seorang ustaz yang pernah mengikut pengajian agama di Timur Tengah seperti Mesir, Syria dan lain-lain lagi katanya untuk melihat orang Arab solat di atas tanah tidak begitu sukar. Petani di ladang kurma apabila masuk waktu zuhur atau asar akan terus menunaikan solat di atas tanah dengan meletakkan pelepah kurma sebagai tempat sujud. Orang yang berilmu dan menghayati sirah Rasulullah SAW tidak akan memberatkan dalam penunaian solat di mana-mana sahaja. Lihat bagaimana Nabi sering berada di padang pasir dalam beberapa siri perang jihad seperti Badar, Khandak dan sebagainya tidak perlu kepada masjid untuk menunaikan solat.
Justeru, teladan kepada kita agar tidak melengahkan solat atau meninggalkan solat semata kerana tiada masjid atau surau sama ada dalam perjalanan atau di dalam apa jua situasi.

Permukaan tanah bukannya termasuk dalam najis atau perkara menjejaskan hukum solat, bahkan debu tanah boleh digunakan sebagai alat bertayamun sekiranya tiada air.  Lihat betapa mudahnya Islam dan janganlah memberatkan dengan akal yang terhad.
 
Coretan Ilham: Muhd Shatar
(Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

19 June 2012

Mengenangkan Dosa Yang Dirakamkan Malaikat

Salam buat pembaca budiman,


Setiap saat yang dirakam malaikat tanpa sedari menaikkan catatan pahala atau menambahkan bilangan dosa. 

Lazimkan beristighfar dengan kalimat memperingati Allah pada masa terluang.
Allah melimpahkan rezeki untuk golongan yang bertakwa, maka cepatkan bersyukur ke hadrat-Nya setelah mendapat nikmat.

Alhamdulillah,
Alhamdulillah,
Alhamdulillah,

Pagi ini aku masih disedarkan untuk bersolat subuh dan mengecapi wajah pagi yang damai!


Coretan: Muhd Shatar

Kelebihan Beramal Pada Bulan Syaaban


Salam pembaca budiman,

Banyak hadis Rasulullah SAW menerangkan tentang kelebihan bulan Syabaan sebagaimana hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari r.a melalui Aisyah r.a :
Bermaksud: Maka tidaklah aku melihat baginda SAW berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan tidaklah aku melihat baginda SAW memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. ” (Riwayat al –Bukhari)
Kelebihan bulan Syaban berada pada kemuncaknya sewaktu di pertengahannya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah r.a yang bermaksud:
Allah SWT melihat kepada makhluk-makhlukNya pada malam nisfu syaaban lalu mengampuni makhluk-makhlukNya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.”(Riwayat Ibnu Majah)

Justeru peluang  memohon keampunan melalui ibadat dan doa perlu dipertingkatkan sebagai mana hadis Rasulullah SAW bermaksud:
Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman,“Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana adakah di sana? sehingga terbit fajar.”(Riwayat ibn Majah)

Coretan: Muhd Shatar

30 May 2012

Sejauh mana keutamaan dan kebanggaan kita kepada Bahasa Melayu?

Salam buat pembaca budiman,

Hari ini sudah memperlihatkan bagaimana anak bangsa sendiri meminggirkan keutamaan penggunaan bahasa Melayu dalam setiap pilihan tindakan atau sikap.
Bila diarahkan memilih sesebuah tajuk untuk menamakan kepada kumpulan, syarikat atau apa sahaja berkaitan dengan penjenamaan, sudah pasti ramai memilih untuk istilah dari bahasa asing bagi menampakkan kecanggihan dan keilmuan. Maka lahirlah istilah asing menguasai nama-nama bangunan, jalan, tempat menarik dan sebagainya.

Di Putrajaya sendiri, pengambilan istilah asing seperti parcel, boulevard, presint dan sebagainya juga menyumbangkan kepada penghakisan bahasa tempatan. Apakah tampak intelektual dengan pemakaian istilah asing sebagai peminjaman tempelan budaya asing ke negara kita.
Sebagai anak bangsa kepada tanah air yang dimahkotakan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, maka kita semua berkewajipan mendaulatkan kedudukan ini bermula dari sekarang dan diamalkan di mana sahaja.

Coretan hati: Muhd Shatar

26 May 2012

Balik Kampung Mana?

Salam pembaca budiman,
Semalam 25.05.2012, semua pelajar akan bercuti termasuk gurunya. Ada guru yang masih bertugas. Bagi guru di sekolah teknik dan vokasional sekarang tengah berlangsung VOKTEK 2012 di Sek Men Teknik Tungku Abdul Rahman bermula pada 23 - 27 Mei 2012.Kali ini sekolah-sekolah teknik di Pulau Pinang dipertanggungjawab mengelola kejohanan . (Dulunya dikenali Kejohanan Antara Teknik KAT) sekarang (VOKTEK). Bermakna guru di sekolah teknik sekitar Pulau Pinang akan mula bercuti pada hari Ahad ini.

Teringatku pada kampung halaman nun jauh. Buat ibu yang tercinta hampir lama ditinggalkan kerana kerjaya dan kerana kerjayalah membawaku mengenali negeri Pulau Pinang.

Setiap bernama perantau akan sentiasa terbuai ingatan di kampung tercinta. Di situ darah ditumpahkan dan sebahagian usia didewasakan dengan lopak air, baruh, tali air, atau sungai Kelantan yang tidak jauh dari rumah. Kelihatan pokok kelapa dan hutan belukar membesarkan pandangan sejak kecil lagi.

Aku akan pulang ke desa kelahiran. Buat ibu dan ayah tercinta yang sedang menunggu, akan ku pulang bersama kasih tak terpadam!

Coretan: Muhd Shatar

24 May 2012

Gadis Dilarikan Ke Lombok, Amalan Masyarakat Lombok Yang Di Luar Kemuliaan

Mohd Zahuri Idris, 47, berkata walaupun reda dengan Pemergian anaknya di Rumah Sakit Bhayan Kara Bolda, Lombok pada 6 Mei lalu, beliau mahu kerajaan dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia membawa Mohamad Yani, 30, yang didakwa melarikan anaknya pada 18 April lalu.

Beberapa persoalan timbul di mindaku.

1. Sememangnya di Indonesia rakyatnya mahir dalam ilmu perbomohan. Ilmu pukau memukau yang
didakwa begitu menjadi dalam urusan menangkap hati perempuan. Apatah lagi hati budak remaja 16 tahun senang dipermainkan.

2. Merampas hak ibu bapa terhadap anaknya adalah dosa besar dan bentuk kezaliman yang sangat kejam. Melarikan anak gadis orang lain adalah termasuk dalam sifat paling keji dan hina.

3. Di sana, adakah anak gadis yang dilarikan akan dilayan dengan baik atau diperhambakan setelah diingin yang dihajati.

Suasana dan trend di Indonesia kalaulah ada kesalahan dari rakyat Malaysia - seluruh rakyat akan berdemostrasi dan memprovokasi dengan cara membakar, memijak dan menukilkan di spanduk kata-kata yang menghina orang Malaysia.
Namun, di Malaysia biarpun orang Lombok kerap kali melarikan gadis Malaysia, tiada pula usaha membakar bendera Indonesia.

Coretan: Muhd Shatar

18 May 2012

Selamat Hari Guru

Salam muhibah,

Selamat hari guru untuk diraikan buat semua para pendidik, bekas pendidik dan yang terlibat dengan kaki tangan persekolahan.

Murabbi amat besar tugasnya. Justeru penghayati maksudnya tidak lain dari memahami pengorbanan. Hari ini kalau kita meraikan bekas guru-guru kita nescaya kita jua akan diraikan oleh anak-anak murid kita. Salam bertugas.

Kepada barisan guru yang pernah mengajar sehingga kekal terpahat nama sampai ke saat ini:

1.Cikgu Mokhtar, Cikgu Zaradi dan lain-lain di SK Bukit Panau (1986-1992)
2.Cikgu Mat Zain, Cikgu Che Hashim, Cikgu Harun, Ustaz Umar, Cikgu Sofi, dan lain-lain di SMU (Arab) Rahmaniah Paloh, Tanah Merah, Kelantan (1992-1994)   

17 May 2012

Salam buat pembaca,

Antara bukti kekuasaan dijelaskan dalam firman al-Quran. Buat pembaca al-Quran menghayati masudnya antara cara menambahkan keimanan terhadap bukti kebenaran al-Quran. Kejadian pokok yang menyerupai nama Allah merupakan tanda kekuasaannya. Manusia perlu berfikir menggunakan akal yang waras.

16 May 2012

Hati-Hati Dengan Rompakan, Penculikan dan Serangan Hendap

Ini adalah sangat menakutkan, serupa dengan kes Ms Canny Ong. Pada suatu hari, terdapat seorang wanita yang berhenti di stesen minyak untuk mengisi minyak. Setelah selesai memenuhkan tangki minyak selepas membayar menggunakan kad kredit di pam dan ingin meninggalkan stesen tersebut, atendan di dalam kedai lantas bercakap menerusi speaker dan memberitahu sesuatu yang berlaku dengan kad itu dan meminta wanita itu masuk ke dalam untuk membayar tunai.


Wanita itu keliru kerana dia telah selesai mengisi minyak dan pembayaran menggunakan kad kredit telah diluluskan. Dia menunjukkan isyarat tangan kepada atendan tersebut dan bersiap sedia untuk meninggalkan tetapi atendan tersebut sekali lagi menggesa wanita tersebut masuk ke dalam kaunter kedai untuk membayar tunai. Dengan perasaan sedikit marah, wanita itu terus masuk ke dalam kedai dan mempertikaikan tindakan petugas tersebut dan menuduh dia menipu. Atendan tersebut memberitahu supaya wanita itu bertenang dan mendengar dengan teliti Atendan memberitahu ketika wanita tersebut sedang mengisi minyak, dia telah melihat seorang lelaki telah masuk ke dlm kereta dan bersembunyi dikerusi belakang . Dengan segera beliau telah menghubungi pihak polis. Wanita tersebut terus menjadi takut dan segera melihat pintu keretanya terbuka dan lelaki itu telah menyusup keluar dan meninggalkan kereta itu dengan tergesa-gesa.

Kes baru-baru ini didapati mempunyai kaitan dengan ujian untuk permulaan geng jenayah terbaru dimana memerlukan seseorang untuk membawa balik bahagian badan seorang wanita .. Salah satu cara yang mereka lakukan adalah dengan merangkak perlahan-lahan dan menyusup masuk ke dalam kereta wanita manakala sasaran utamanya adalah stesen minyak atau di kedai runcit pada waktu malam. Kemudian, mereka akan potong kaki / buku lali mangsa menculik mereka dan kemudiannya membunuh dan mencerai-beraikan mereka. Kaedah lain adalah dengan memaksa wanita itu masuk ke dalam kereta kemudian menculik mereka, Sila sebarkan ini kepada wanita lain, orang muda dan tua.

Pertama, wanita seharusnya lebih berhati-hati apabila ingin masuk ke dalam kereta pada waktu malam.
Kedua, Jangan letakkan kereta di tempat sunyi atau terpencil semata-mata ingin mendapatkan tempat letak kereta percuma!
Ketiga, Jika boleh, elakkan memandu seorang diri pada waktu malam! Ini adalah situasi sebenar! Penculikan! Pembunuhan! Putus dan anggota badan dicerai-ceraikan! Ini semua berlaku di Malaysia !

Jadikan amalan :
1. Pastikan kereta berkunci setiap masa walaupun anda meninggalkan kereta sebentar.
2. Periksa sekeliling kereta sebelum masuk ke dalam kereta.
3. Sentiasa peka terhadap sebarang tanda-tanda pelik dari persekitaran anda dan individu lain di dalam sekitar umum, terutama pada waktu malam

13 May 2012

Bola Sepak Akhirnya Berjaya Menambahkan Kerosakkan Muda Mudi

Salam budiman kepada semua pembaca rakyat Malaysia.

                           
Melihat kepada perkembangan semasa, pasukan bola sepak Kelantan antara terkuat dalam tempoh 3-5 tahun ini. Sayangnya para peminat yang ratusan ribu datang dalam keadaan tidak senonoh berpakaian serta dahsyat pergaulan. Biar hanya sebilangan kecil bukan semua. (Maaf! Saya memilih untuk menyuarakan kebenaran yang perlu ditegakkan atas dasar agama.)
Hukum menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium perlu dikaji oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Bahkan untuk solat musafir dengan menjamak atau memendikkan buat penyokong yang menaiki bas dari Kelantan ke Kuala Lumpur pun meragukan. Pemain bola sepak dengan jelas tidak menutup aurat, bagaimanakah menghalalkan tujuan yang baik bagi seseorang bermusafir.
Ya! bola sepak adalah hiburan nombor satu di Kelantan. Jadi untuk merosakkan bumi Kelantan bersama jiwa muda rakyatnya dengan pembawaan maksiat dalam stadium. Terlalu menjolok mata dan amat tidak sedap dilihat. Bukankah perempuan mendedahkan aurat akan membantu merosakkan sahsiah manusia akhir zaman. Melihat perkembangan ini, untuk ke stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak sudah menjadi subhah, melalaikan, bercampur aduk serta ada pergaulan bebas antara dua kaum (lelaki dan perempuan). Bukankah lebih baik menyentuh khindir dari bersentuhnya lelaki dan perempuan bukan mahram (Baca: Hadis)

Berdasarkan pemerhatian penulis, maka penulis tidak akan ke stadium kerana disebabkan beberapa keadaan yang dilihat tidak memuaskan hati. Menonton bola sepak adalah harus, untuk ke stadium beberapa persoalan perlu dimuhasabahkan.
1. Para penyokong bersiap siaga dengan kemampuan membeli tiket serta belanja dari Kelantan ke Kuala Lumpur semata menyaksikan perlawanan bola sepak sudah pasti dipersoalkan Allah di akhirat. Bagaimana pula tugas kepada agama Allah. Bandingkan berapa jumlah wang dilaburkan ke jalan hiburan atau ke jalan diredai Allah. 

2. Berapa ramai anak muda kerja di kilang-kilang di Shah Alam, Klang, Lembah Pantai atau pelajar di kampus akan berbondong-bondong k stadium secara berpasangan dengan motosikal atau tren.

3. Minah rempat dan Mat rempat berpesta sebaik sahaja perlawanan yang dimenangi dengan bermabukkan atau sebagainya.


Coretan peribadi: Muhd Shatar 
(Maaf! Kepada penyokong pasukan Kelantan. Anda yang terbaik ke stadium dengan adab dan cara berpakaian sopan menutup aurat maka anda tidak terjerumus dalam golongan yang dimaksudkan. Tahniah semangat cinta pada tanah air.)


SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU